32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Usaha wujudkan kerajaan baharu melalui ‘Projek 7 Julai’?

Mesti Baca

CYBERJAYA – Beberapa pemimpin kanan UMNO dikatakan giat melaksanakan usaha bagi membawa parti itu keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui apa yang dianggap sebagai ‘Projek 7 Julai’.

UMNO dikatakan akan membuat keputusan tersebut pada 7 Julai ini, selepas pucuk pimpinan parti mendapat persetujuan daripada Ahli Parlimen, Pengerusi Perhubungan Negeri, Menteri dan Timbalan Menteri serta Ahli Majlis Tertinggi (MT).

‘Projek 7 Julai’ didakwa bertujuan bagi membolehkan jajaran baharu politik diwujudkan dengan berusaha mendapatkan kerjasama PKR sekaligus untuk membuka laluan kepada penubuhan kerajaan baharu pada tarikh berkenaan atau selewat-lewatnya 8 Julai. 

Pada 21 Jun lalu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi kepada kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dan jika gagal berbuat demikian ia dianggap satu penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan MT parti itu akan membuat tindakan selanjutnya.

Sumber memberitahu, usaha mendapat persetujuan kini di peringkat Ahli MT setelah pucuk pimpinan dikatakan gagal mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan Menteri serta Timbalan Menteri.

“Dalam pertemuan dengan Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Ahmad Maslan, hampir kesemua ahli Parlimen parti itu menolak untuk keluar dari Perikatan Nasional dan tidak mahu bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,’’ dakwa sumber kepada UtusanTV.

Malah sumber itu mendakwa, walaupun ada ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan PN, namun mereka menolak kerjasama dengan Anwar.

“Begitu juga ketika perbincangan dengan pengerusi perhubungan UMNO, hanya seorang sahaja bersetuju dan seorang lagi berkecuali bagi menjayakan ‘Projek 7 Julai’ manakala pertemuan di peringkat Menteri dan Timbalan Menteri dengan Mohamad Hasan, ia hanya sempat dilakukan dengan dua timbalan menteri sahaja yang secara tegas menolak jajaran baharu.

“Salah seorang Timbalan Menteri menunjukkan surat yang ditulis oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” kata sumber tersebut.

Kini dakwa sumber itu, sejak dua hari lalu, ahli-ahli MT pula dipanggil secara individu untuk bertemu dengan Ahmad Zahid, Mohamad Hasan dan Ahmad Maslan bagi mendapat persetujuan sama ada di Tingkat 38 Ibupejabat UMNO atau di kediaman Ahmad Zahid di Country Height.

Advertisements

“Tindakan ini amat tidak demokratik kerana sepatutnya dalam membuat keputusan besar seumpama itu, MT perlu mengadakan mesyuarat dengan melibatkan kehadiran serentak semua ahli MT supaya boleh mendengar pandangan secara telus.

“Tetapi kalau pertemuan seorang demi seorang, kita tidak sejauh manakah ketelusannya dan tidak mustahil boleh berlaku tawar menawar dalam usaha pucuk pimpinan mendapat persetujuan mereka,” kata sumber tersebut.

Selain itu dakwa sumber berkenaan macam-macam boleh berlaku termasuklah manipulasi terhadap pendirian ahli-ahli MT.

‘’Contohnya kelmarin tular senarai MT yang didakwa bersetuju dengan keputusan UMNO untuk keluar daripada Kerajaan PN tetapi sebenarnya ada yang disenaraikan itu tidak bersetuju dan telah memberi syarat, beliau boleh menyokong ‘Projek 7 Julai’ dengan syarat tiada kerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad, Anwar, PKR dan DAP

“Ahli MT itu memberitahu beliau tidak menandatangani sebarang akuan bersumpah sebaliknya menandatangani buku kedatangan. Apakah menandatangani buku kedatangan dianggap bersetuju atau SD itu hanya diberikan kepada ahli-ahli MT yang mereka yakin akan menyokong keputusan dibuat?,” soal sumber tersebut.

Sumber itu mendakwa, Ahmad Zahid perlu mendapatkan sokongan ahli-ahli MT bagi membolehkan beliau memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, mereka sebulat suara bersetuju untuk keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional.

Sumber itu mendakwa, ini merupakan kali kedua kepemimpinan UMNO melakukan tindakan dianggap tidak demokratik dalam membuat keputusan berkaitan dengan parti.

“Sebelum ini ada SMS (khidmat pesanan ringkas) dihantar kepada MKT untuk menyatakan sama ada mereka bersetuju atau tidak, pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan sepatutnya ia dibawa dalam mesyuarat MT untuk diputuskan bukan melalui SMS seperti itu,” katanya.

Seperkara lagi sumber itu mempersoalkan keabsahan atau kelayakan Ahmad Zahid untuk membuat keputusan parti memandangkan Majlis Tertinggi UMNO pada 29 Mei 2009 yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak telah memutuskan mana-mana pemimpin atau ahli yang didakwa di mahkamah secara automatik digantung semuanya jawatan dalam parti sehingga kes selesai. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

TLDM tubuh lembaga siasatan tragedi nahas dua helikopter

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua buah helikopter...

Lagi Artikel Berkaitan