28.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Siswa guru IPGKIK diterap ilmu moderator, pengacaraan majlis

Mesti Baca

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

KUALA LUMPUR – Sejajar norma baharu pendidikan yang mengaplikasi teknologi digital, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) Bandar Tun Razak di sini menerapkan pembangunan moderator dan pengacaraan majlis dalam kalangan siswa guru.

Pensyarah Cemerlang Gred Khas C IPGKIK, Norani Abd Rahim berkata, kepetahan mengendalikan majlis secara maya memberikan nilai tambah kepada siswa guru dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, selama ini siswa guru hanya didedahkan dengan amalan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) secara bersemuka dan perlu dibekalkan dengan ilmu baharu pengucapan awam meliputi moderator dan pengacaraan majlis secara maya.

NORANI ABD RAHIM IPGKIK
NORANI ABD RAHIM

Beliau berkata, ini dengan sendirinya menjadikan mereka berkeyakinan tinggi bukan saja ketika mengendalikan PdPR, malah semasa mengendalikan mesyuarat secara maya sebagai moderator atau pengacara majlis.

“Ini menjadi wacana serampang dua mata untuk pembangunan modal insan bakal guru yang kini `berjauhan’ dengan pensyarah mereka kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19,” katanya ketika menjadi panelis program Bengkel Pembangunan Moderator dan Pengacaraan Majlis secara Google Meet, di sini.

Program berkenaan anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) IPGKIK turut disertai kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Zon Tengah meliputi IPG Kampus Bahasa Melayu, IPG Kampus Bahasa Antarabangsa dan IPG Kampus Pendidikan Islam.

Advertisements
IPGKIK
Bengkel Pembangunan Moderator dan Pengacaraan Majlis Siswa Guru IPGKIK secara Google Meet membantu meningkatkan kemahiran siswa guru dalam pengucapan awam. – Gambar: IPGKIK

Norani berkata, penganjuran progam itu adalah inisiatif membangunkan potensi diri sebagai moderator yang mempunyai aura dalam kalangan siswa guru apabila menjadi pendidik suatu hari nanti.

Katanya, penganjuran program itu juga sebagai ilmu tambah untuk mengendalikan majlis perhimpunan sekolah, berkomunikasi dengan baik, dan meningkatkan kemahiran pengucapan awam apabila siswa guru menjadi pendidik novis nanti, sama ada menerusi PdPR atau PdPC secara bersemuka.

Beliau berkata, banyak input diperoleh daripada siswa guru menghadiri bengkel berkenaan seperti ketiadaan kaedah berkesan mengawal perasaan gemuruh yang memerlukan ilmu dan latihan berterusan untuk meningkatkan keyakinan diri.

“Pada siri bengkel akan datang kita akan menerapkan kemahiran menghilangkan perasaan gugup, intonasi suara lebih baik dan memperbaiki sebutan yang dipengaruhi loghat negeri asal seseorang siswa guru,” katanya.

Norani berkata, seorang moderator dan pengaca majlis seharusnya tidak mudah gugup yang menyebabkan mereka gagal berfikir dengan baik kerana debaran yang sangat kencang sehingga sukar bersuara.

“Berdasarkan pengalaman sebagai graduan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Institut Teknologi MARA (ITM) atau sekarang Universiti Teknologi MARA (UiTM), saya akan berusaha membimbing siswa guru supaya berketerampilan sebagai moderator dan pengacara majlis,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan