28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

OP Patuh besar-besaran seluruh negara mula esok

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Op Patuh yang bertujuan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan dilaksanakan secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara mulai esok.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Op Patuh besar-besaran itu akan membabitkan strategi yang lebih drastik melalui pemeriksaan yang lebih ketat.

Menurut beliau, pemantauan juga adalah lebih menyeluruh dengan penggunaan aset-aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak milik agensi- agensi penguatkuasaan yang terlibat antaranya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Di peringkat lapangan, Op Patuh besar-besaran ini akan dikoordinasikan dan diketuai oleh ketua-ketua polis daerah di seluruh negara sebagai komander lapangan bersama semua anggota penguat kuasa dari jabatan atau agensi yang lain.

“Sehubungan itu, mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP COVID-19 (JKPS) telah menetapkan beberapa petunjuk prestasi utama (KPI) kepada semua ketua polis daerah yang terlibat bagi memantau keberkesanan dan kelancaran Op Patuh tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat JKPS Bil. 2/2021 yang turut disertai wakil 23 kementerian, jabatan serta agensi hari ini.

Hamzah menambah, penyelarasan itu adalah penting bagi memastikan koordinasi yang lebih baik diperingkat setiap agensi penguatkuasaan dan bagi mengelakkan pemeriksaan bertindih terhadap premis oleh agensi yang berlainan pada hari yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, sebanyak 126,207 premis seperti kilang, asrama penempatan pekerja dan premis perniagaan telah diperiksa melalui Op Patuh yang diketuai oleh PDRM mulai 25 hingga 30 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 602 kompaun telah dikeluarkan terhadap kilang dan premis, manakala 60 premis telah diarahkan tutup atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi SOP serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya.

Hamzah berkata, mesyuarat JKPS juga telah memutuskan untuk memberikan lebih tumpuan penguatkuasaan kepada negeri-negeri yang mempunyai kes jangkitan COVID-19 yang masih tinggi seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Bagi mengetatkan kawalan pergerakan di negeri-negeri tersebut, mesyuarat JKPS telah menerima pemetaan kawasan perindustrian dan penginapan pekerja yang mempunyai potensi tinggi penularan COVID-19 hasil kerjasama dengan pihak kerajaan negeri Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Pelaksanaan Op Patuh juga akan mengambil kira maklumat pemetaan tersebut dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau menyatakan, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP serta arahan kerajaan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan akta-akta sedia ada yang lain. – EDISI 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan