27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

MQA teruskan Hari Mesra Pelanggan dalam talian

Mesti Baca

CYBERJAYA – Cabaran bekerja dari rumah sejak penularan wabak COVID-19 di negara ini tidak menghalang Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk meneruskan inisiatif Hari Mesra Pelanggan menerusi penganjuran dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata usaha itu bagi memberi ruang dan peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT), institusi pendidikan dan sesiapa sahaja yang ingin memperoleh maklumat berkaitan MQA.

Beliau berkata, sebelum pandemik COVID-19 melanda, Hari Mesra Pelanggan MQA diadakan secara perjumpaan konvensional bersama-sama IPT tempatan.

Namun kini, kata Mohammad Shatar ia berlangsung secara maya mengikut slot janji temu yang ditetapkan.

graduan global
MOHAMMAD SHATAR SABRAN

“Penganjuran ini menunjukkan tahap komitmen tinggi MQA dalam usaha memacu pembangunan dan kecemerlangan pengajian tinggi di negara ini.

“Hari Mesra Pelanggan diadakan pada hari Khamis minggu pertama dan minggu ketiga dari bulan Februari hingga November tahun ini. Biarpun diadakan dalam talian, sambutan yang diterima memang amat menggalakkan,” katanya.

Pada sesi semalam, sebanyak empat institusi menyertai Hari Mesra Pelanggan MQA iaitu masing-masing Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS); Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK); Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS) dan Kolej Kemahiran Minda ISBAUK.

MQA Hari Bersama Pelanggan
Program secara dalam talian semalam diserta empat institusi. – Gambar: MQA

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, penganjuran secara dalam talian itu amat bertepatan dengan norma baharu yang mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan bersama.

Katanya, beliau menggalakkan semua IPT mengambil kesempatan daripada penganjuran Hari Mesra Pelanggan secara dalam talian ini kerana akses adalah lebih mudah berbanding secara fizikal sebelum ini dan sekiranya ingin berbincang secara spesifik bolehlah membuat janji temu.

“Bagi institusi pendidikan yang mahu menyertai Hari Mesra Pelanggan MQA, permohonan slot janji temu dan perkara yang ingin dibincangkan boleh dibuat di pautan https://www.picktime.com/HariMesraPelangganMQA sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh cadangan pertemuan.

“Diharap usaha ini akan memberi peluang sewajarnya kepada IPT untuk berbincang bersama-sama pegawai MQA berkaitan pelaksanaan APEL, Standard Program, Dasar MQA dan Akreditasi Program,” katanya lagi. – EDISI 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan