25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Lima negeri beralih ke Fasa 2 Kawalan Pergerakan PPN

Mesti Baca

CYBERJAYA – Lima negeri iaitu Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan  Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Isnin ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai.

Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini. 

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Rentas daerah,negeri tak dibenarkan

Mengenai pelaksanaan Fasa 2 tersebut, beliau berkata, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan. 

‘’Pengecualian akan diberikan untuk pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan dan pengecualian khas akan diberikan kepada pasangan jarak jauh dalam kes-kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM),’’ katanya.

Ismail Sabri juga menjelaskan, sektor yang dibenarkan beroperasi juga akan diperluaskan iaitu sektor perdagangan & pengedaran, kedai buku & alat tulis, komputer & telekomunikasi, barangan eletrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

‘’Pasar tani dan pasar pagi juga dibenarkan beroperasi dari jam 7  pagi sehingga 11 pagi dan jualan diterhadkan kepada 6 komoditi utama sahaja iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

‘’Bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka,’’ katanya sambil menegaskan pengusaha sektor yang dibenarkan beroperasi diingatkan sentiasa mematuhi SOP.

Beliau berkata, berikutan peralihan ke Fasa 2 tersebut, kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu ataupun essential services akan dinaikkan kepada 80 peratus.

”Pihak majikan perlu memastikan penjarakan fizikal dan SOP yang ditetapkan dipatuhi setiap masa manakala semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 hingga 3 meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri juga dibenarkan,’’ katanya.

Kata Ismail Sabri, ini termasuklah aktiviti secara berindividu seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skate boarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, golf, permotoran dan seumpamanya.

‘’Aktiviti keagamaan bagi Fasa 2 adalah tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri,’’ katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan