25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Op Patuh: Ramai masih ingkar, kompaun ribuan ringgit dikenakan

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Hari kedua Operasi Patuh (Op Patuh) memperlihatkan masih ramai individu sama ada pemilik premis, pekerja dan pelanggan, dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Meskipun hebahan mengenai Op patuh telah dilakukan, namun masih terdapat individu dan pemilik premis yang ingkar dengan SOP, antaranya gagal menyediakan alat pengimbas suhu dan beroperasi tanpa surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Op Patuh yang dijalankan serentak secara besar-besarkan di seluruh negara bermula semalam itu, melibatkan 21 kementerian yang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, lapor Bernama.

Di SELANGOR, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Embol berkata, sebanyak lima kompaun dikeluarkan melibatkan nilai keseluruhan RM50,000 kepada majikan, kerana didapati melakukan kesalahan beroperasi tanpa surat MITI, lebih kapasiti 60 peratus pekerja dan bukan perkhidmatan perlu.

“Manakala enam kompaun dikeluarkan kepada pekerja, RM2,000 setiap seorang kerana gagal mengimbas suhu dan dua premis iaitu sebuah bengkel kereta di Bukit Jelutong dan sebuah kilang membuat barangan plastik, Seksyen 16 diarahkan tutup serta merta,” katanya selepas operasi pemantauan Op Patuh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, sebanyak dua kilang di daerah itu dikenakan kompaun semalam, kerana tidak menyediakan alat pengimbas suhu dan nama pekerja tiada dalam senarai MITI.

Di JOHOR, sebanyak 77 kompaun dikeluarkan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM770,000 atas kesalahan ketidakpatuhan SOP, melibatkan 48 kompaun dikeluarkan terhadap perbadanan atau pemilik premis, manakala 29 lagi ke atas pekerja atau pelanggan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah itu empat premis diarah tutup serta-merta kerana melanggar SOP utama, manakala lapan kompaun dikeluarkan atas kesalahan melebihi kapasiti datang bekerja 60 peratus, dan salah guna surat kebenaran beroperasi daripada MITI.

Ayob Khan berkata kesemua kompaun yang dikeluarkan hasil 22 operasi yang dijalankan ke atas 120 premis iaitu 100 kilang, 14 premis perniagaan, tiga pasar raya dan tiga terminal bas membabitkan 503 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan.

Di PAHANG, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar menerusi kenyataan hari ini berkata, sembilan pekerja kilang warga tempatan berusia antara 20 hingga 55 tahun dikompaun RM1,500 setiap seorang, kerana gagal mengimbas aplikasi kod QR MySejahtera semasa hadir bekerja.

Selain itu, 10 warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan China, berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan kerana gagal mengimbas kod QR MySejahtera, dan pelbagai kesalahan berkaitan Imigresen. 

Katanya, dua kilang masing-masing dikenakan kompaun RM10,000, selepas didapati beroperasi dengan kapasiti pekerja melebihi 60 peratus pada pemeriksaan Op Patuh di sekitar daerah Bentong, semalam.

Di PULAU PINANG, sebanyak 24 kompaun dikeluarkan dalam operasi semalam, melibatkan pemeriksaan di 309 premis perniagaan dan 136 kilang sekitar negeri itu.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak dua premis dan sebuah kilang diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan