26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

KKM ambil langkah segera tangani limpahan pesakit di hospital

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah segera menangani limpahan pesakit Covid-19 di hospital-hospital di Lembah Klang, terutama di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, ini berikutan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 di luar jangka yang menyebabkan keadaan Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Unit Rawatan Rapi (ICU) penuh sesak.

Malahan menurut beliau, penggunaan katil termasuk jenis ‘repurpose bed’ juga telah mencapai kadar melebihi 85 peratus secara keseluruhannya.

“Mengambil kira isu keperluan katil tambahan khususnya katil di ICU, pengurusan KKM semalam telah mengadakan perbincangan dengan HKL dan beberapa pihak lain yang berkaitan untuk meneliti langkah afirmatif segera bagi menangani keadaan luar jangka kedatangan dan rujukan pesakit yang tinggi di hospital KKM di Lembah Klang” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, empat langkah afirmatif yang akan dilaksanakan segera itu ialah:

  1. Memperluaskan lagi penyumberluaran (outsourcing) pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi membolehkan HKL menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.
  2. Meningkatkan kapasiti katil ICU dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan yang diperlukan seperti alat bantuan pernafasan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti seperti Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital Universiti Putra Malaysia dan Hospital Universiti Teknologi MARA bagi menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.
  3. Memberi penugasan semula (mobilisasi) secara sementara kepada petugas kesihatan (pakar perubatan dan anggota paramedik) dari negeri tertentu bagi menyokong perkhidmatan di hospital KKM dan hospital pengajar universiti yang memerlukan petugas kesihatan tambahan bagi merawat pesakit Covid-19.
  4. Mengoptimumkan sumbangan sukarelawan dan pelajar kejururawatan tahun akhir dari Institut Latihan KKM yang sedang menjalani latihan praktikal (akan diberivaksinasi terlebih dahulu) bagi membantu petugas kesihatan sedia ada seperti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Selain itu, sebahagian anggota jururawat berpengalaman yang ditugaskan di PPV dan Pusat Saringan Covid-19 akan ditugaskan semula bagi menyokong penyampaian perkhidmatan dihospital KKM.

Beliau berkata, pihaknya berharap tekanan tinggi yang diterima oleh pihak hospital untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 akan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa serta negara dapat segera mencapai pemulihan,

Semalam, tular beberapa rakaman video awam yang merakamkan suasana di ICU HKL dan Hospital Klang yang menunjukkan beberapa pesakit terpaksa di rawat di atas lantai dan kerusi berikutan jumlah katil yang tidak dapat menampung kehadiran pesakit Covid-19.

Dr Adham berkata, terdapat peningkatan bilangan pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5 yang hadir atau dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma serta ICU khususnya di HKL.

Katanya, daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan oleh HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5 manakala bakinya adalah pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.

Sementara itu, Dr Adham berkata, kerajaan pada masa akan melipatgandakan lagi pemberian vaksin daripada sejumlah 250,000 suntikan kepada 300,000 suntikan sehari.

Ujarnya, ia dicapai menerusi perolehan vaksin tambahan dan pembukaan lebih banyak PPV di seluruh negara, termasuk PPV PangkalanTLDM KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor.

“Selain meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan kawalan mengikut sektor tertentu oleh pihak yang diberikuasa, kepatuhan kepada norma baharu oleh semua pihak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini amat diperlukan dan penting bagi mempercepatkan lagi kadar penurunan kes Covid-19 di negara ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan