TANJUNG MALIM – Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan tidak berapa lama lagi, Pejabat Karang Mengarang (PKM) atau Penerbit UPSI akan memberi ‘hadiah istimewa’ kepada para pembaca dan peminat buku iaitu menawarkan jualan dengan diskaun setinggi 95 peratus.
Pengarah PKM, Prof Madya Dr Rosmilah Misnan berkata, orang ramai boleh mengambil peluang itu untuk memiliki pelbagai buku terbitan Penerbit UPSI di beberapa platform seperti UPSI Online Bookstore, Shopee, Lazada serta Youbeli sepanjang Bulan Kemerdekaan dari 1 hingga 31 Ogos depan.
Beliau berkata, Penerbit UPSI bernaung di bawah Majlis Penerbitan Buku Ilmiah Malaysia (MAPIM), yang memfokuskan penerbitan karya ilmiah terutamanya buku-buku pendidikan yang seringkali menjual buku di pameran-pameran peringkat nasional dan antarabangsa.

Rosmilah memberitahu, Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac 2020 ternyata membuka ruang dan peluang kepada penerbit buku termasuk Penerbit UPSI untuk memasarkan buku-buku terbitan mereka di pelbagai platform jualan atas talian seperti Shopee, Lazada, Youbeli dan sebagainya.
“Pandemik COVID-19 ini juga telah mengubah corak dan gaya pembaca yang mula beralih kepada bahan bacaan berbentuk e-buku yang lebih mudah dicapai dengan segera,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, selaras dengan perubahan itu, Penerbit UPSI juga tidak ketinggalan telah mengambil peluang dengan mula menerbit dan memasarkan buku ilmiah dalam bentuk e-buku bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pembaca untuk mendapatkan buku terbitan Penerbit UPSI.
Katanya, sebagai permulaan, e-buku terbitan Penerbit UPSI kini boleh didapati di empat platform jualan e-buku iaitu Overdrive, E-Sentral, Book Capital dan Pubu dengan harga yang lebih rendah berbanding buku bercetak.
Semudah ABC, para pelanggan hanya perlu melayari platform tersebut, memilih judul yang ingin dibeli dan membuat pembayaran dan e-buku akan diterima melalui e-mel dengan segera.
Penerbit UPSI juga dalam proses memeterai perjanjian untuk memperbanyakkan lagi platform jualan e-book seperti MindAppz, Bukoo dan banyak lagi.
“Kami menerbitkan lebih 800 judul buku sejak ditubuhkan pada November 2001 dan jualan online sempena bulan kemerdekaan tidak beberapa hari lagi hanya membabitkan buku-buku karya asli sebanyak 277 judul yang menarik,” katanya. – EDISI 9