AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan 206 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada memasuki negara ini sejak Januari hingga Julai lalu.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, dalam tempoh yang sama pihaknya juga turut merekodkan tangkapan 446 bot nelayan atas pelbagai kesalahan.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 151 kes melibatkan vesel krgao dan enam kes penyeludupan kontraban turut berjaya dilakukan di sekitar perairan negara dalam tempoh tersebut.
“Agensi ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di kawasan Zon Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan sejahtera,” katanya hari ini.
Sebelum itu Saiful Lizan menghadiri Program Pemasangan Jalur Gemilang bagi Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Maritim Malaysia di Putrajaya.
Hadir sama Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim Mohd Norzam Mustapa.
Saiful Lizan menegaskan, usaha menjaga keselamatan negara tidak terletak kepada tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, namun ia adalah peranan semua pihak dalam memastikan keamanan dan keharmonian tanah air terus terpelihara.
Sehubungan itu beliau berharap seluruh lapisan masyarakat, sama ada komuniti maritim mahupun komuniti bandar menjadi ‘mata dan telinga’ Maritim Malaysia.
Katanya, ini dapat dilakukan dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Maritim Negeri di seluruh negara atau melalui talian kecemasan NG999.
Program Pemasangan Jalur Gemilang Peringkat Ibu Pejabat Maritim Malaysia kali ini melibatkan hampir 50 buah kenderaan terdiri daripada kenderaan jabatan dan motosikal milik warga agensi itu. – Edisi 9