27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Darurat: Agong dukacita, Takiyuddin kelirukan Dewan Rakyat

Mesti Baca

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin  Hassan  dan Peguam Negara Tan Sri Idrus  Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu kata Ahmad Fadil, Seri Paduka turut  menegaskan kenyataan Takiyuddin yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Seri Paduka sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula pada hari Isnin lalu.

“Ia adalah sejajar dengan saranan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas yang telah diadakan pada 16 Jun, 2021 supaya persidangan Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya tempoh Darurat,” katanya.

Ahmad Fadil menjelaskan, Seri Paduka menegaskan dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150 (2B) dibaca dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka,” katanya.

Beliau berkata, Seri Paduka menegaskan Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik Covid-19 ini.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan