25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Akses sistem pendidikan Malaysia setara negara maju

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2020 membuktikan akses sistem pendidikan Malaysia sudah setara dengan negara maju.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, di negara-negara maju, isu lokaliti luar bandar-bandar bukan menjadi punca utama jurang pencapaian pendidikan berlaku.

Menurut beliau, perkembangan itu bermaksud, dalam keadaan sekarang, Malaysia juga sudah berjaya menyediakan akses pendidikan yang baik tanpa mengira murid-murid berada di sekolah bandar atau sekolah dan luar bandar.

“Kedua, kejayaan inisiatif kerajaan dalam memastikan anak-anak keluarga miskin diberikan perhatian sewajarnya untuk mendapatkan pendidikan telah menunjukkan hasil.

“Kos persekolahan yang hampir percuma, penyediaan guru terlatih yang berkualiti, bahan pembelajaran yang disediakan di semua sekolah kerajaan serta berbagai program intervensi seperti projek makanan tambahan, program susu sekolah, biasiswa pendidikan untuk pelajar miskin, asrama harian dan skim bantuan buku teks banyak membantu pencapaian pelajar di kawasan luar bandar.

“Sehingga mereka juga mencapai keputusan peperiksaan yang sama dan adakalanya lebih tinggi berbanding murid-murid di sekolah kawasan bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keputusan STPM 2020 yang diumumkan hari ini menyaksikan seramai 741 calon mendapat Pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 802 calon pada 2019.

Advertisements

Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, peratusan golongan B40 bagi pencapaian itu meningkat kepada 74.76 peratus atau 554 calon berbanding 73.19 peratus (587 calon) pada 2019.

Secara keseluruhan, PNGK Nasional STPM 2020 meningkat 0.01 peratus daripada 2.77 pada 2019 kepada 2.78.

Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 juga dikatakan terbaik dalam tempoh lima tahun dengan mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 pada 2019 yang mana nilai lebih kecil menunjukkan pencapaian calon lebih baik.

Anuar menambah, keputusan SPM 2020 dan STPM 2020 membuktikan isu kemiskinan dan lokaliti luar bandar-pedalaman bukanlah punca utama masalah pendidikan negara.

“Keputusan SPM 2020 sebelum ini membuktikan murid-murid luar bandar lebih berjaya berbanding murid-murid bandar dan keputusan STPM 2020 hari ini membuktikan kumpulan pelajar miskin (B40) lebih berjaya dari kumpulan pelajar kaya.

“Dua keputusan peperiksaan awam ini menolak pemikiran lama dan teori klasik pendidikan seperti Teori Coleman (1966) yang mengatakan kemiskinan adalah punca utama keciciran pendidikan,” jelasnya.

Malah, kata beliau, ramai pakar di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa PBB (UNICEF) yang menyatakan kemiskinan adalah punca utama masalah pendidikan. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan