29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

56 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen

Mesti Baca

CYBERJAYA – Sebanyak 56 kes positif Covid-19 dikesan setakat semalam hasil ujian saringan yang dijalankan antara 21 hingga 25 Julai lalu bagi sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, dua kes melibatkan Ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam), manakala 48 kes lagi melibatkan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan.

Dalam tempoh tersebut, kata beliau seramai 2,093 individu menjalani saringan ujian masing-masing di Kompleks Parlimen, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya serta fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta.

“Ini menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus. Daripada 56 kes yang positif ini, 39 (69.6 peratus) terdiri daripada mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin.

“Hasil siasatan dan penilaian risiko yang dijalankan setakat semalam, kes-kes positif ini tidak mempunyai kaitan epidemiologi di antara satu sama lain.

“Individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen. Mereka telah diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif tersebut sebelum hari bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan diteruskan untuk mengesan kontak rapat kepada kes-kes positif tersebut.

Advertisements

Katanya, sehingga 28 Julai juga, empat orang kontak rapat telah disahkan positif Covid-19.

‘’Keempat-empat kontak rapat tersebut tidak hadir sejak hari pertama persidangan berlangsung dan sedang dalam tindakan susulan oleh pihak kesihatan,’’ katanya.

Berikutan perkembangan semasa, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan.

“Bagi memastikan Sidang Khas Parlimen terus berjalan lancar, semua individu dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan sedia ada. KKM akan terus memantau perkembangan situasi di Parlimen.

“Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah ditempatkan di bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala ke atas semua yang memasuki bangunan Parlimen,’’ katanya.

Beliau memberitahu,  sehingga 28 Julai seramai 104 individu telah menjalani ujian saringan kendiri “RTK-Ag Self Test Kit” menggunakan sampel saliva dan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

“Sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan individu yang menghadiri Parlimen, siasatan akan dijalankan termasuk pengesanan kontak dan punca jangkitan,” ujar beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan