27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Writ saman Steven terhadap Kamarul Zaman ditolak

Mesti Baca

GEORGETOWN – Writ saman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim terhadap penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff ditolak oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Harris Mohan Abdullah yang mewakili Kamarul Zaman.

Harris berkata, bantahan terhadap writ saman yang difailkan oleh peguam Steven, RSN Rayer dibuat dalam pengurusan kes pagi tadi kerana mendapati berlaku kecacatan.

“Dalam pengurusan kes pagi ini, Pendaftar Mahkamah Tinggi Georgetown bersetuju dengan bantahan saya bahawa writ itu cacat kerana salah kod menyebabkan Steven, yang diperintahkan membayar kos kepada Kamarul Zaman, menarik balik writ itu dengan kebebasan untuk memfailkannya semula pada masa depan.

“Selain itu, writ tersebut juga tidak ada teste,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harris Mohan Abdullah saman Steven
HARRIS MOHAN ABDULLAH

Pada 20 April lalu, Steven mengumumkan dalam Facebook bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kamarul Zaman setelah beliau amat terkesan dengan fitnah dan tohmahan yang didakwa merosakkan nama beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.

Dalam writ yang dikemukakan kepada Kamarul Zaman pada 19 Mei lalu, Steven menyebut, Kamarul Zaman telah membuat fitnah kepada beliau dan DAP.

Kamarul Zaman didakwa membuat kenyataan tersebut bagi mengulas tindakan Steven menularkan bantuan yang diberikannya kepada orang ramai dalam media sosial.

Kamarul Zaman mengesahkan perkara itu tetapi tidak mahu mengulas lanjut mengenainya kerana beranggapan perkara-perkara teknikal ini bukan perkara besar yang perlu dijadikan isu.

“Saya sedar beberapa pihak yang saya saman sering menghebahkan kononnya saya kalah kes dan terpaksa membayar kos kepada mereka sedangkan ia hanyalah merujuk kepada bantahan awal pada peringkat pengurusan kes sahaja.”

“Sebenarnya beberapa pihak yang saya saman juga turut terpaksa membayar kos kepada saya bila bantahan awal mereka ditolak oleh mahkamah tetapi saya tidak mahu membesar-besarkan hal ini kerana ia hanyalah perkara teknikal.”

“Saya yakin dengan kemampuan peguambela saya di dalam kes ini, Harris Mohan Abdullah, untuk mengendalikan kes ini jika dan bila ia difailkan semula, begitu juga dengan peguambela saya di dalam kes-kes lain, Faidhur Rahman Abdul Hadi,” jelasnya.

Selain Steven, Kamarul Zaman turut mengemukakan saman fitnah kepada pemimpin- pemimpin DAP yang lain termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Chong Chieng Jen, Teresa Kok, Hannah Yeoh, Lim Lip Eng dan Wong Kah Woh.

Tuntutan saman fitnah turut difailkan terhadap dua Ahli Parlimen dari Parti Amanah Negara (PAN) iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan