27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Langgar SOP: 63 kilang, premis perniagaan diarah tutup

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 63 lagi kilang dan premis perniagaan diarahkan tutup oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak operasi pemeriksaan bermula 14 Jun.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 48,770 kilang dan premis perniagaan diperiksa bagi memastikan pematuhan SOP membabitkan sektor yang dibenar beroperasi dalam tempoh PKP penuh.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah 7,387 kilang dan 41,383 premis perniagaan telah diperiksa. Sebanyak 21 tangkapan dibuat dan 201 kompaun dikeluarkan terhadap kilang atau premis perniagaan yang didapati melanggar SOP.

“Selain itu sebanyak 63 kilang dan premis perniagaan telah diarahkan untuk ditutup,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, KDN memandang serius tindakan majikan atau kilang yang memberi maklumat tidak benar untuk memperoleh kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP dan mengabaikan pematuhan SOP.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan hampir 91 peratus atau 150,934 petugas barisan hadapan KDN telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya dos pertama.

Beliau berkata, ia melibatkan 108,595 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen (11,738); Jabatan Penjara (15,411); Jabatan Sukarelawan Malaysia (11,328) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (3,862).

Jelas beliau, daripada jumlah itu, seramai 133,781 petugas barisan hadapan tersebut telah melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

“Petugas barisan hadapan KDN perlu rasa diberikan perlindungan iaitu vaksin COVID-19 untuk bertugas di sekatan jalan raya dan operasi di kilang-kilang,” katanya 

Hamzah berkata KDN juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk pemberian vaksin kepada petugas kaunter perkhidmatan di KDN dan agensi di bawahnya.

“Pemberian vaksin itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual ditetapkan oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF),” katanya.

Mengenai pematuhan SOP, beliau berkata, dari 1 Jun hingga semalam sebanyak 14,539 kompaun telah dikeluarkan dan 767 tangkapan dibuat oleh PDRM atas pelbagai kesalahan.

Beliau turut menjelaskan, sekatan jalan raya masih lagi dikuatkuasakan dengan tegas oleh polis di seluruh negara termasuk penutupan 132 jalan-jalan kecil yang dikenalpasti menjadi laluan alternatif orang awam untuk melanggar larangan rentas negeri dan daerah.

“Melalui rekod PDRM sekitar 11,000 permohonan harian untuk pergerakan rentas negeri dan daerah telah diluluskan hanya bagi kes kematian, kecemasan dan bekerja sendiri,” katanya. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan