30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

UMNO tangguh pemilihan hingga COVID-19 reda

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pemilihan UMNO yang sepatutnya berlangsung tahun ini terpaksa ditangguhkan sehingga tarikh yang akan ditentukan kemudian setelah situasi pandemik COVID-19 reda.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemilihan parti secara maya adalah mustahil untuk dilakukan.

Menurut beliau, kira-kira tiga juta ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian perlu bermesyuarat dan mendengar maklum balas akar umbi.

“Menurut Perlembagaan UMNO, kita boleh tangguh selama 18 bulan… tapi tak semestinya kita perlu tunggu selama itu.

“Sekiranya keadaan bertambah baik, kita boleh dan akan adakan pemilihan lebih awal,” katanya.

Tambah Mohamad, UMNO sudah memaklumkan penangguhan pemilihan serta alasan berbuat demikian kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pemilihan UMNO kali ini dijangka panas berikutan terdapat kemungkinan jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dicabar oleh beberapa pemimpin kanan parti.

Walaupun Mohamad sendiri tidak pernah mengumumkan hasrat bertanding jawatan Presiden, nama beliau sering disebut oleh akar umbi untuk menduduki kerusi panas itu.

Advertisements

Nama-nama lain yang dilihat berpotensi mencabar Ahmad Zahid ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tidak ketinggalan, penyokong tegar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berharap beliau kembali menerajui UMNO.

Kali terakhir jawatan Presiden UMNO dicabar adalah pada 1987 yang menyaksikan persaingan sengit antara Tun Dr Mahathir Mohamad selaku penyandang jawatan tersebut dan pencabarnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Walaupun Dr Mahathir berjaya mempertahankan jawatannya, krisis perpecahan yang berlaku selepas pemilihan UMNO semakin parah.

Beberapa ahli UMNO mencabar keputusan pemilihan parti di mahkamah yang seterusnya pada Februari 1988 memutuskan bahawa UMNO adalah sebuah pertubuhan haram kerana beberapa cawangannya tidak didaftarkan secara sah.

Serpihan UMNO selepas itu berpecah menjadi dua kumpulan yang besar iaitu UMNO baharu yang didaftarkan oleh Dr Mahathir.

Sebahagian besar bekas pemimpin kanan dan ahli UMNO lama yang tidak sehaluan dengan Dr Mahathir seterusnya menyertai parti Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan