30.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, July 3, 2022

Buka semula pusat latihan kemahiran TVET – PKPB

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) menggesa kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) agar segera memberi kebenaran pembukaan operasi pusat latihan kemahiran yang melaksanakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada golongan belia di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, pembukaan sektor TVET akan memberi golongan belia berkemahiran peluang meneruskan latihan amali atau praktikal mereka di mana dalam kaedah latihan TVET memerlukan 70 hingga 80 peratus kerja-kerja amalan bengkel.

Manakala, menurut beliau, bagi belia lepasan sekolah yang tidak berpeluang atau tidak berminat ke aliran akademik boleh menyertai latihan TVET bagi meneruskan hala tuju kerjaya masa hadapan.

“Terdapat dua sebab utama gesaan ini dibuat iaitu yang pertama, pembelajaran secara dalam talian terbatas kepada teoritikal sahaja.

“Walaupun kemajuan teknologi memberi peluang kepada pembelajaran jarak jauh dan dalam talian, ia bukan pengganti jangka panjang untuk pengajaran bersemuka di bengkel dan latihan kemahiran praktikal.

“Elemen latihan TVET menekankan aspek kerja tangan atau ‘hands-on’ antara 70 hingga 80 peratus dan aktiviti latihan ini hanya boleh di jalankan di bengkel dengan alatan, kemudahan dan bahan gunahabis sebenar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

rizan belia bekerja
MOHAMMAD RIZAN HASSAN

Yang kedua, Mohammad Rizan memberitahu, industri kekurangan tenaga kerja belia berkemahiran yang telah dilatih di institusi latihan kemahiran awam (ILKA) dan institusi latihan kemahiran awam swasta (ILKS).

Baca juga:   8 lokasi di Kuala Langat berdepan fenomena air pasang
Baca juga:   ECRL kembali ke jajaran asal dengan kos RM50 bilion

Tambah beliau, pandemik COVID-19 memberi ruang yang luas kepada rakyat Malaysia khususnya belia dari segi peluang penempatan pekerjaan.

“Ini kerana industri tidak lagi di benarkan membawa masuk pekerja asing bahkan yang sedia ada juga semakin ramai dihantar pulang,” jelasnya.

Namun, Mohammad Rizan berkata, sejak dua tahun lalu, industri tidak mendapat bekalan tenaga kerja dari ILKA dan ILKS atas beberapa sebab seperti pelatih sedia ada belum menamatkan latihan di sebabkan elemen praktikal belum disahkan terampil dan pelatih tidak menamatkan latihan lebih awal dan memasuki alam pekerjaan dengan kelayakan akademik rendah.

Selain itu, menurut beliau, semakin banyak ILKS khususnya menutup operasi dan dijangka juga akan berlaku lebih banyak penutupan operasi dalam masa terdekat manakala kekurangan kritikal pengambilan pelatih baharu berlaku di ILKA dan ILKS.

“Gesaan ini dilihat berasas dan perlu di perhatian serius kerana ia di tahap yang kritikal dalam mendepani isu bekalan tenaga kerja terlatih di Malaysia.

“Tanpa bekalan tenaga kerja yang mencukupi yang telah di latih dalam pelbagai tahap akan menyebabkan industri terus mendesak kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing yang akhirnya akan lebih boleh menimbulkan kegusaran, kebimbangan dan keresahan masyarakat negara ini,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Keputusan peperiksaan SVM, PASM esok

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester 4 Sesi 2/2021 dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2021 akan...

Lagi Artikel Berkaitan