25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PH, UMNO tolak MAGERAN, minta Parlimen dibuka

Mesti Baca

CYBERJAYA – Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Al-Billah Shah, semalam ternyata tidak diterima oleh parti-parti utama.

PKR, DAP, Amanah dan UMNO dalam kenyataan berasingan senada bahawa MAGERAN tidak diperlukan sebaliknya mahu Darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang bagi membincangkan isu berkaitan pandemic Covid-19.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, sebagai parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, pakatan itu menolak cadangan MAGERAN berdasarkan pendirian konsisten bahawa Darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka sekarang.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19,ekonomi malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” kata kenyataan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

UMNO pula melalui Presidennya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi turut senada dengan PH tetapi mahu Darurat ditamatkan pada 1 Ogos dan Parlimen diteruskan seperti biasa selepas itu.

Beliau berkata, perkara itu telah disampaikan sewaktu diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata tanpa Proklamasi Darurat pun Kerajaan masih mempunyai kemampuan untuk menguruskan soal berkaitan Covid-19 serta isu-isu lain yang berkaitan.

“Tentang pendirian UMNO, kami telah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos kerana kemudaratannya lebih besar pada negara, dan ternyata tanpa darurat pun dahulu Kerajaan masih boleh uruskan isu bekaitan pandemik Covid-19.

“UMNO juga membawa suara rakyat yang rata-rata resah gelisah dalam menghadapi pandemik Covid-19, sehingga menjejaskan mata pencarian dan pendapatan ekonomi mereka,” katanya kepada media di luar pekarangan Istana Negara.

Ahmad Zahid berkata UMNO berpendapat Parlimen wajar bersidang bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan, dan wujud elemen akauntabiliti dan serta semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan dengan pentadbiran negara.

“UMNO berpendapat Parlimen amat penting sebagai platform rasmi menyuarakan suara hati rakyat berkenaan dengan kepentingan mereka seperti tuntutan moratorium, kenaikan harga barang yang mendadak, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan untuk semua yang tidak terhad kepada B40 sahaja tetapi membangkitkan, dan libatkan kumpulan M40, malah di kalangan T20 juga turut terjejas.

“Maka kita rasakan bahawa aspek ekonomi sama ada foreign direct investment (FDI) yang telah dilokasikan di negara-negara jiran tetapi yang lebih penting lagi domestic direct investment (DDI) yang harus digalakkan dengan pelbagai insentif dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Ditanya sama ada beliau turut membangkitkan mengenai cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak dibincangkan dengan Agong.

Tegasnya lagi, penubuhan MAGERAN adalah sesuatu yang di luar keadaan norma, dan sepatutnya Darurat sudah mencakupi langkah yang perlu dilakukan melalui Majlis itu.

“Saya rasakan bahawa perkara itu adalah salah satu daripada keadaan norma yg di luar daripada apa yang sedia ada kerana darurat patutnya mencakupi soal-soal itu.

“Tapi ia telah (cuba) digunakan untuk mencapai tujuan lain,” katanya lagi. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan