25.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penerima dos lengkap vaksin mungkin boleh rentas negeri

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Kajian sedang dilakukan berhubung kelonggaran termasuk kebenaran merentas negeri yang bakal diberikan khusus kepada mereka yang telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 di negara ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu sedang dikaji oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Beliau memberitahu, kelonggaran itu akan membabitkan nilai ambang tertentu yang ditetapkan sebagai syarat peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara, khususnya membabitkan jumlah populasi yang sudah menerima vaksin.

“Kebebasan kepada penerima dos lengkap vaksin sedang dikaji sebuah jawatankuasa kerja teknikal di bawah JKJAV, yang dianggotai pakar kesihatan dan sains.

“Mereka akan melihat daripada aspek klinikal, dengan mengambil kira data dari negara lain, dan memutuskan tahap ambang mana yang sesuai untuk kita memberi kebebasan tertentu kepada penerima dos lengkap vaksin COVID-19.

“Jawatankuasa kerja teknikal ini akan membuat satu syor kepada JKJAV berhubung kebebasan yang boleh diberikan, sebelum diangkat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diputus dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media Pelan Pemulihan Negara di sini, semalam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, antara contoh yang boleh dilihat membabitkan garis panduan kelonggaran yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

“Contohnya, sekiranya ada beberapa orang yang sudah lengkap menerima vaksinasi ingin berjumpa dalam satu bilik, mereka boleh tanggalkan pelitup muka.

“Ini sedang diperhalusi jawatankuasa kerja teknikal yang akan membuat syor jenis kebebasan yang dibenarkan serta nilai ambang untuk negara kita, seperti 30 hingga 40 peratus penduduk di populasi, baru dapat diberi kebebasan kepada mereka.

“Ini termasuk juga kebebasan merentas negeri kepada mereka yang sudah menerima dos lengkap vaksinasi, yang akan diumumkan nanti,” jelasnya.

Khairy menambah, sijil digital vaksinasi atau pasport vaksin dalam aplikasi MySejahtera akan digunakan oleh penerima dos lengkap untuk membolehkan mereka menikmati kebebasan tertentu itu.

“Kita juga sedang berunding dengan negara lain untuk sama-sama mengiktiraf sijil digital vaksinasi masing-masing. Rundingan dengan Singapura hampir tamat.

“Namun, ingin saya tekankan bahawa selagi negara belum mencapai matlamat 80 peratus populasi divaksinasi, kita perlu terus patuhi prosedur operasi standard (SOP), atau jangkitan berisiko kembali melonjak dan tidak dapat mencapai sasaran Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan