34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Misi Kemanusiaan UMNO berlepas ke Jordan lewat malam ini

Mesti Baca

Sampaikan bantuan untuk baik pulih Masjid Al-Aqsa

CYBERJAYA – Seramai 30 orang sukarelawan, pasukan perubatan dan media akan berlepas ke Jordan dan Mesir bagi melaksanakan Misi Kemanusiaan UMNO ke Palestin, mulai tengah malam ini.

Misi yang diketuai oleh Ketua Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim itu akan menyampaikan sumbangan untuk membaik pulih Masjid Al-Aqsa serta bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza yang dizalimi zionis Israel.

Bagi tujuan itu, satu pasukan diketuai oleh Abdul Azeez akan berlepas ke Jordan malam ini untuk memasuki Baitulmuqaddis dan menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa.

Kumpulan tersebut kemudian akan terbang ke Kaherah, Mesir untuk bergabung bersama dua pasukan lagi yang akan berangkat dari Kuala Lumpur terus ke sana.

Kesemua mereka kemudian akan memasuki Gaza melalui Rafah untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di wilayah tersebut yang terkesan akibat serangan ganas rejim zionis menjelang Aidilfitri baru lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, misi kemanusiaan itu mendapat restu Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Zahid juga telah bertemu dengan Duta Palestin ke Malaysia dan berkomunikasi secara online dengan beberapa pemimpin Palestin yang berada di sana.

“Misi kemanusiaan ini pergi atas nama Biro Kebajikan UMNO Malaysia. Kepada yang ingin membantu, boleh disalur menerusi Tabung Muafakat Palestin.

“Setiap ringgit yang diderma akan sampai ke pihak yang sepatutnya menerima di sana (Palestin). Moga sedikit bantuan itu akan dibalas banyak oleh Allah SWT,” katanya menerusi Twitternya hari ini.

Sementara itu, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling telah mendapat pelepasan daripada Jabatan Imigresen bagi membolehkannya mengetuai misi tersebut ke Palestin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, Abdul Azeez telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan misi berkenaan berserta dokumen lain seperti surat sokongan daripada Wisma Putra dan surat pelepasan daripada mahkamah kepada Imigresen pada minggu lepas.

Beliau berkata, permohonan itu telah diluluskan Jawatankuasa Khas Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dan Menteri Dalam Negeri yang menilai permohonon tersebut berdasarkan bantuan kemanusiaan. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan