31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

15,000 rakyat Palestin tiada rumah angkara bedilan Israel

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15,000 orang rakyat Palestin di Gaza tiada rumah kerana musnah dibedil oleh tentera Zionis Israel dalam serangan terbaru rejim itu menjelang Aidilfitri baru lalu.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, dalam serangan ganas tersebut, sebanyak 17,000 buah rumah dimusnahkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin parti itu yang akan ke Gaza bulan ini akan turut memberi tumpuan untuk pembangunan semula kediaman penduduk Palestin yang dimusnahkan itu.

“Kami juga akan membantu dari segi ubat-ubatan dan peralatan perubatan terutama berkaitan ortopedik dan cedera kebakaran sebab itulah keperluan segera rakyat Palestin seperti dimaklum pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu, Azeez berharap lebih ramai pihak syarikat pembinaan dapat tampil untuk membantu membina semula penempatan penduduk Gaza yang musnah tersebut.

“Saya sudah mengutuskan surat kepada pihakCIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) untuk mendapatkan pandangan apa yang mereka boleh bantu dalam menjayakan misi bantuan ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Azeez yang sebelum ini sudah empat kali menjejakkan kaki di bumi Gaza melalui misi kemanusiaan berharap misi kali ini mencapai kejayaan.

Ini kerana, kata beliau, mereka membawa amanah yang diserahkan oleh parti dan para penyumbang Tabung Muafakat Palestin yang diwujudkan oleh UMNO.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Luar yang sebelum ini telah mengambil inisiatif mewujudkan tabung kemanusiaan menerusi Bulan Sabit Merah Malaysia,” katanya.

Azeez berkata, setakat ini sebanyak 77 orang sudah mendaftar untuk menyertai misi tersebut dengan 50 daripadanya terdiri daripada doktor-doktor pakar.

Selain itu, misi kali ini juga bakal disertai wakil-wakil korporat dan beliau amat mengalu-alukan penyertaan mereka agar dapat melihat sendiri suasana di Gaza pada masa kini. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan