34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerajaan pertimbang cadangan lanjut i-Sinar, i-Lestari

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan dan penyelesaian yang dikemukakan rakyat termasuk lanjutan program i-Sinar dan i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi rakyat.

Malah, beliau juga secara peribadi mempunyai kenalan dan saudara yang memohon i-Lestari dan i-Sinar dalam mereka menghadapi cabaran masa ini.

“Pada masa yang sama ada juga pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen dan simpanan hari tua rakyat tergugat disebabkan kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran dari KWSP.

“Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah ada pelbagai suara menyokong dan membantah. Kami akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

TENGKU ZAFRUL TENGKU AZIZ

Tengku Zafrul mengulas tentang pandangan yang disuarakan rakyat dalam Sesi Zoom anjuran KWSP semalam.

Beliau memberi jaminan bahawa KWSP dan Kementerian Kewangan sentiasa mendengar luahan dan keluhan rakyat.

“Sesi ini adalah sebahagian usaha kami untuk mendapatkan maklumbalas bagi membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat,” jelasnya.

Pada 18 Februari lalu, KWSP mengumumkan bahawa ahli di bawah umur 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac 2021.

Dalam satu kenyataan, KWSP memberitahu, ia termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh tersebut, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.

‘’KWSP menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli ketika pembaharuan ini dilaksanakan kerana pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari 2021 melibatkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online,’’ kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal iaitu:

a. Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b. Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Sebahagian besar pencarum KWSP telah menerima bayaran terakhir i-Sinar mereka bulan ini. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan