28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Perlukah sektor pencetus ‘kluster tempat kerja’ terus beroperasi?

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

MUNGKIN hari ini kita akan dapat mengetahui sama ada PKP 3.0 menyeluruh atau full lockdown yang bermula 1 Jun lalu dan berakhir Isnin akan disambung atau tidak.

Isnin ini genaplah 28 hari, jutaan rakyat Malaysia bekerja dari rumah atau ‘berkurung’ dalam rumah. Semua itu terpaksa dilakukan dalam usaha membantu kerajaan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

Tetapi setakat ini, nampaknya ‘pengorbanan’ itu seperti tidak ada ertinya apabila kes tidaklah turun secara drastik seperti mana diharapkan.

Sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi mula dilihat mengundang padah kepada usaha mengekang penularan Covid-19.

Setiap hari kluster tempat kerja terus mencatatkan peningkatan kes.

Sektor perkilangan, tapak binaan, pasar raya dan syarikat perkhidmatan antara penyumbang kepada kewujudan kluster tersebut.

Dan hari ini Astro Awani melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata;

Full lockdown berjaya elak ‘malapetaka’ seperti yang diunjurkan sebelum ini. Ia memandangkan jika langkah itu tidak dilakukan negara akan berdepan risiko kenaikan kes jangkitan sehingga 13,000 kes pada 14 Jun. Keadaan itu boleh mencecah sehingga 40,000 kes beberapa minggu selepas itu.

Tetapi Dr. Noor Hisham turut menegaskan, “kita berjaya melandaikan lengkuk jangkitan tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk menurunkan lagi kes.

Selagi masih ada pergerakan dan aktiviti berkumpul beramai-ramai di sesetengah sektor, kita akan tetap berada di mana kita hari ini.’’

Semua orang boleh memahami apa yang dimaksudkan dengan ‘aktiviti berkumpul beramai-ramai di sesetengah sektor’ yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan tersebut. Sudah pasti ia merujuk kepada sektor yang mencetuskan ‘kluster tempat kerja’.

Sememangnya pada pandangan majoriti rakyat, PKP 3.0 atau menyeluruh tidak akan bererti apa-apa jika sektor tersebut dibenarkan beroperasi. Oleh itu ada yang bertanya kalau PKP 3.0 menyeluruh disambung apakah sektor-sektor tersebut akan terus dibenarkan beroperasi?

Apakah jaminan bahawa sektor-sektor tersebut tidak menjadi seperti mana kata Dr.Noor Hisham, ‘’kita akan tetap berada di mana kita hari ini.’’ Keadaan itu sudah tentulah meresahkan rakyat, mereka sudah penat!

Dan lebih penat adalah barisan hadapan yang sudah lebih setahun bertungkus lumus siang dan malam menangani kes Covid-19.

Penulis tertanya-tanya kenapa susah sangat untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kementerian-kementerian terlibat dalam ‘kluster tempat kerja’ membuat keputusan menutup semua sektor tersebut untuk sementara.

Kita sepatutnya mencontohi Thailand yang membuat keputusan menutup ratusan tapak pembinaan dan melarang pekerja daripada meninggalkan kem yang menjadi tempat tinggal mereka selama sebulan berikutan kemunculan banyak kluster dari sektor tersebut.

Kewujudan kluster-kluster tempat kerja ini khususnya di sektor perkilangan menimbulkan kemarahan rakyat kerana mereka merasakan sia-sia sahaja mereka berkorban duduk dalam rumah untuk elak penularan Covid-19 tetapi senang-senang saja sektor tersebut buat hal.

Justeru mereka berharap, kalaupun PKP 3.0 menyeluruh disambung, adalah wajar semua sektor ditutup juga.

Tidak perlu mana-mana sektor diberi keistimewaan kerana kita sekarang berada dalam ‘peperangan’. Dalam ‘zon perang’ mana ada kelompok yang mendapat layanan istimewa, sama-sama kena berkorban untuk sementara waktu.

Kalau itu tidak dapat dilakukan, diharapkan operasi besar-besaran Kementerian Dalam Negeri (KDN)di sektor perkilangan dan industri  yang diumumkan Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang bermula serta-merta semalam benar-benar akan memberi kesan.

Jika selepas seminggu kes tak turun juga dan ‘kluster tempat kerja’ terus menjadi penyumbang, kerajaan tidak ada pilihan selain menutup semua sektor tanpa ada kompromi lagi. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan