31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hasrat HM4P serah bantuan di Masjid Al-Aqsa tidak kesampaian

Mesti Baca

CYBERJAYA – Hasrat Misi Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) menyampaikan dana bantuan Malaysia untuk Masjid Al-Aqsa dalam masjid agung itu tidak kesampaian apabila mereka tidak dibenar memasuki wilayah tersebut.

Ekoran itu, dana tersebut hanya diserahkan kepada Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan di Amman bagi melaksanakan tugas-tugas tersebut.

Bantuan sebanyak USD200,000 (RM840,000) yang diusahakan menerusi Tabung Muafakat Palestin UMNO Malaysia itu disampaikan oleh Pengerusi Biro Kebajikannya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim kepada Menteri Awqaf dan Hal Ehwal Agama, Dr Mohamad Al-Khalailah di Amman, Jordan.

“Penyerahan dana ini adalah bertujuan menyampaikan solidariti kita kepada rakyat Palestin, itu keutamaan kita.

“Kita juga berhasrat untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin di Jordan,” kata Abdul Azeez selepas majlis penyerahan dana sumbangan tersebut seperti dilapor UMNO Online.

Majlis ringkas itu turut dihadiri oleh Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani dan Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding.

Sebelum ini Abdul Azeez dan rombongan HM4P berusaha untuk memasuki Al-Quds dan Baitulmuqaddis melalui Jordan tetapi gagal kerana kawasan tersebut dikawal rapi oleh tentera Israel.

Sementara itu, Sheikh Umar berkata, dana itu akan digunakan untuk pembangunan atau pemulihan Masjid Al-Aqsa kesan serangan rejim zionis Israel baru-baru ini.

Antara kerosakan teruk yang dialami ialah bahagian pintu masuk masjid, tingkap dan klinik yang ada dalam kawasan masjid keagungan umat Islam tersebut.

Jilid pula menyifatkan ia sebagai sumbangan pertama disalurkan secara terus kepada Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan yang bertanggungjawab mentadbir Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis di bawah penjagaan Raja Abdullah II dari Jordan.

Difahamkan, Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa dan warga Palestin.

Setiap tahun Jordan memperuntukkan USD18 juta untuk pengurusan dan penyelenggaraan Masjid al-Aqsa, termasuk membayar gaji para pekerja, serta lebih 300 petugas yang mengawal keselamatan masjid itu daripada diceroboh sewenang-wenangnya oleh zionis.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

Media melaporkan lebih 77,000 warga Palestin di Gaza hilang tempat tinggal akibat serangan rejim Israel.

Abdul Azeez dan rombongan HM4P akan berlepas ke Kaherah, Mesir esok untuk bergabung bersama dua kumpulan lagi yang menyertai misi tersebut untuk memasuki Gaza menerusi Rafah.

Jika berjaya, HM4P akan menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk Gaza yang terjejas terus ekoran serangan Zionis tersebut.

Kira-kira 30 orang sukarelawan, pasukan perubatan dan media menyertai HM4P anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia itu. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan