24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Badal haji: TH minta orang ramai berhati-hati

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal (upah) haji yang sering dipromosikan dalam media sosial oleh agensi pelancongan dan individu tertentu.

Menurut TH, untuk makluman orang ramai, pelaksanaan rukun Islam yang kelima itu memerlukan setiap jemaah dari luar Arab Saudi mendapatkan visa menunaikan haji manakala penduduk tempatan perlu memohon permit terlebih dahulu.

“Sehingga kini, kerajaan Arab Saudi masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan pelaksanaan ibadat haji tahun ini.

“Selain itu, tawaran badal haji pada kadar bawah RM2,500 seorang adalah tidak munasabah kerana kos permit dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji adalah jauh lebih tinggi,” kata TH dalam kenyataan media, hari ini.

TH juga amat bimbang dengan kes penipuan badal haji yang berlaku setiap tahun dan meminta orang ramai untuk memastikan ejen atau individu yang menawarkan perkhidmatan ini mempunyai kebenaran menunaikan haji serta berkelayakan dari segi ilmu untuk melaksanakan badal haji itu dengan sempurna.

TH dan anak-anak syarikatnya tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji.

Bulan lalu, Arab News melaporkan, umat Islam dijangka dapat menunaikan ibadah haji tahun ini, namun dalam jumlah yang kecil.

Advertisements

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, beberapa syarat khas termasuk peraturan kesihatan yang ketat turut dikenakan sebagai langkah mencegah penularan pandemik COVID-19.

Jelas kementerian itu, perbincangan sedang dilakukan bagi membolehkan umat Islam mengerjakan rukun Islam yang kelima tersebut.

“Keputusan itu berdasarkan kesungguhan kerajaan untuk membenarkan tetamu di Masjidilharam serta Masjid Nabawi menunaikan haji dan umrah.

“Kerajaan sentiasa meletakkan kesihatan dan keselamatan jemaah sebagai perkara utama,” kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi masih membincangkan dan membuat penilaian mengenai syarat yang akan ditetapkan.

Setakat ini, kerajaan Malaysia masih belum membuat pengumuman berhubung penghantaran bakal haji dari negara ini. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan