25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

16 pusat bertauliah JPK tutup, 179 tiada pelatih baharu

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 16 pusat bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) terpaksa menutup operasi manakala 179 lagi tidak dapat membuat pengambilan pelatih sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan mulai Mac tahun lalu.

Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC), Azizul Mohd Othman berkata, dianggarkan pusat bertauliah swasta kehilangan peluang pendapatan bernilai RM160 juta sepanjang tempoh tersebut.

Menurut beliau, mengikut unjuran yang dibuat oleh FeMAC, sekiranya keadaan itu berterusan, lebih separuh daripada 179 pusat bertauliah swasta akan berhadapan dengan risiko penutupan.

“Institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) yang sebahagian besarnya merupakan pusat–pusat bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (PB-JPK) adalah di antara sektor ekonomi yang amat terkesan akibat penularan COVID-19.

“Penguatkuasaan PKP telah menyebabkan operasi penyedia-penyedia latihan terjejas.

“Program-program latihan yang sedang berjalan terpaksa ditangguh berkali-kali dan ini menjejaskan latihan yang melibatkan seramai lebih kurang 10,000 pelatih.

“Keadaan ini juga telah memberikan kesan yang sama ke atas kemasukan dan pengambilan pelatih-pelatih baru ke pusat-pusat latihan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan menggesa kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) agar segera memberi kebenaran pembukaan operasi pusat latihan kemahiran yang melaksanakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada golongan belia di negara ini.

Beliau berkata, pembukaan sektor TVET akan memberi golongan belia berkemahiran peluang meneruskan latihan amali atau praktikal mereka di mana dalam kaedah latihan TVET memerlukan 70 hingga 80 peratus kerja-kerja amalan bengkel.

Manakala, menurut Mohammad Rizan, bagi belia lepasan sekolah yang tidak berpeluang atau tidak berminat ke aliran akademik boleh menyertai latihan TVET bagi meneruskan hala tuju kerjaya masa hadapan.

Mengulas lanjut, Azizul memberitahu, penutupan operasi pusat bertauliah akan menjejaskan program latihan, penilaian dan pensijilan pelatih-pelatih sedia ada di semua ILKS terbabit.

Tambah beliau, situasi itu juga akan menyebabkan berlaku kekurangan pusat latihan selepas tamat pandemik nanti yang mana bakal menjejaskan kapasiti latihan untuk meningkatkan penghasilan tenaga mahir negara.

“Ini akan mengakibatkan kebergantungan yang berterusan kepada tenaga kerja asing yang memberi kesan sosioekonomi yang merugikan negara,” jelasnya.

Azizul berkata, kira-kira 10,000 tenaga kerja yang terdiri daripada tenaga pengajar, kakitangan pentadbiran dan sokongan dalam sektor berkenaan berhadapan risiko kehilangan pekerjaan manakala industri-industri sokongan dalam sektor latihan turut terjejas.

Bagi membolehkan pusat bertauliah terus bertahan dalam situasi COVID-19 dan PKP, beliau menyarankan supaya skim subsidi upah diteruskan sekurang-kurangnya enam bulan lagi bagi mengurangkan beban kewangan ILKS berkenaan yang rata-ratanya bergantung kepada yuran latihan.

“Selain itu, pusat bertauliah dengan sokongan kerajaan boleh mendapatkan suntikan modal daripada institusi-institusi kewangan dalam bentuk pinjaman (soft loan) bagi menampung kos operasi untuk tempoh enam bulan.

“Proses vaksinasi kakitangan dan pelatih pusat bertauliah dipercepatkan bagi membolehkan sektor latihan kemahiran berjalan seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya.

Azizl turut mencadangkan agar dana khas diperuntukkan sebagai geran latihan untuk para pelatih khususnya mereka daripada golongan B40.

“Ini dilihat sebagai satu keperluan memandangkan akan adanya kesukaran bagi mereka mendapatkan penjamin untuk memohon pinjaman latihan daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam suasana semasa,” katanya. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan