JERUSALEM – Ketegangan yang berpunca daripada kebiadaban tentera Zionis Israel menyerang umat Islam selepas menunaikan solat sunat tarawih di Masjid al-Aqsa malam tadi dijangka memuncak.
Ia berikutan seruan yang dikeluarkan oleh Hamas agar pejuang-pejuang pembebasan Palestin di Gaza bersama-sama mempertahankan masjid ketiga paling suci dalam Islam itu.
Memetik laporan Quds News Network, Hamas turut menyeru rakyat Palestin khususnya yang berada di Tebing Barat dan wilayah yang diduduki rejim Zionis Israel sejak 1948 agar menziarahi Masjid Al-Aqsa pada malam ke-27 Ramadan dan tidak meninggalkannya sehingga Aidilfitri.
Pergerakan pembebasan Palestin itu turut memberi amaran kepada rejim Zionis yang sedang melakukan tindakan keganasan di Sheikh Jarrah dan Bal Al-Amoud.
“Kami menyeru rakyat kami dalam diaspora dan umat Islam serta bangsa Arab untuk bersolidariti dengan Jerusalem dan bersama-sama menghapuskan ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa,” kata Hamas.
Sementara itu, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyyeh memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sambil mengingatkan beliau supaya jangan bermain api di Jerusalem.
“Ini adalah pertempuran yang kamu tidak boleh menang, sama ada kamu atau tentera dan polis kamu… Musuh sedang melakukan tindakan bodoh di Jerusalem dan Al-Aqsa dan dia tidak tahu kesannya,” tegasnya.
Ismail menambah, situasi akan berubah sepenuhnya selepas pencabulan oleh rejim Zionis Israel.
“Saya telah menghubungi pemimpin negara-negara Arab dan Islam dan kami memberi amaran tentang akibat yang bakal dihadapi akibat keganasan yang berlaku di Masjid Al-Aqsa ketika ini,” tambahnya.
Setakat ini, seramai 53 umat Islam dilaporkan cedera dengan 23 orang daripada dirawat di hospital akibat keganasan yang dilakukan tentera rejim Zionis Israel terhadap mereka yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan.
Sebelum itu, puluhan ribu rakyat Palestin memenuhi Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat terakhir bulan Ramadan dan ramai daripada mereka kekal berada di masjid suci tersebut sebagai simbolik protes bagi menyokong saudara-saudara mereka yang diusir dari rumah masing-masing di Al-Jarrah.
Persatuan Bulan Sabit Merah mengesahkan jumlah umat Islam yang dirawat di hospital.
Lebih memburukkan keadaan, tentera rejim Zionis Israel menghalang kru Persatuan Bulan Sabit Merah daripada melepasi pos pemeriksaan tentera Qalandya sekali gus menyukarkan usaha membawa mangsa-mangsa lain yang cedera ke hospital.
Sepanjang minggu lalu, penduduk Al-Jarrah serta rakyat Palestin dan aktivitis-aktivis solidariti antarabangsa menganjurkan perhimpunan setiap malam bagi menyokong keluarga-keluarga yang berdepan pengusiran.
Polis dan tentera rejim Zionis Israel bertindak balas dengan menyerang mereka menggunakan gas pemedih mata, peluru bersalut getah dan bom pegun.
Mereka turut menahan ramai rakyat Palestin yang terlibat dalam protes berkenaan.