25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Ugut polis dalam Facebook, Diana Mat ditahan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Gara-gara menggunakan perkataan kesat dan berunsur ugutan terhadap polis, seorang wanita yang dipercayai pemilik akaun Facebook Diana Mat ditahan kira-kira pukul 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, tangkapan itu dilakukan ekoran laporan polis yang dibuat tentang hantaran Facebook yang dibuat oleh Diana Mat pada pukul 10.30 pagi hari yang sama.

Menurut beliau, pemilik akaun Facebook Diana Mat didapati memuat naik beberapa hantaran menggunakan perkataan kesat dan berunsur ugutan ditujukan kepada petugas sekatan jalan raya di Putrajaya.

“Perkataan tersebut antara lainnya adalah ‘aku pusing balik rempuh korang’, ‘Penguatkuasa sama mcm hanjing’, ‘Kau dengan penjenayah sama je’, ‘Anjinglah kau’, ‘Bangsat punya Polis Putrajaya’ dan ‘gampang, kau ingat aku takut’.

“Siasatan awal mendapati sebelum laporan polis telah dibuat telah tular beberapa tangkap layar di media sosial yang merupakan hantaran oleh pengguna Facebook tersebut dengan menggunakan perkataan kesat dan berunsur ugutan terhadap pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Fadzil menambah, polis juga telah merampas peranti berupa telefon bimbit milik wanita tersebut yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran dalam akaun Facebook Diana Mat.

Advertisements

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (menggunakan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar).

“Wanita tersebut kini ditahan dan akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan,” jelasnya.

Mohd Fadzil berkata, pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang atau jabatan.

Semakan terhadap akaun Facebook Diana Mat mendapati hantaran-hantaran yang mengandungi kata-kata kesat dan ugutan terhadap polis itu tidak lagi disiarkan.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan