25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tiada bukti kematian Haziq berkaitan vaksin – Pakar forensik

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Tiada bukti menunjukkan kematian mengejut pemanah negara, Allahyarham Mohd Haziq Kamaruddin berkaitan langsung dengan vaksinasi Covid-19.

Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Zahari Noor, hasil bedah siasat mendapati kematian pemanah senior itu akibat kompilasi salur darah jantung tersumbat akibat perubahan arterosklerosis.

“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah calitan ujian Covid-19
yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut.

“Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian akibat komplikasi salur
darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis
(coronary artery atherosclerosis).

“Walau bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk
menunggu beberapa keputusan analisa makmal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan pada jam 1.40 pagi tadi di Tanah Perkuburan Taman Koperasi, Serkam, Melaka iaitu di kediaman keluarga isterinya. – Sumber: Astro Awani

Pemanah recurve itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang pada 9.37 pagi Jumaat selepas dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya di Kajang.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham, 27, dilapor mengambil vaksin dos kedua bersama atlet-atlet lain.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa semua pihak tidak mengaitkan kematian Haziq dengan pengambilan vaksin.

Menurutnya, Allahyarham bersama beliau dan 241 atlet lain turut mengambil vaksin yang sama.

“Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya mohon tidak sebarkan berita yang tidak benar. Saya serta 242 orang atlet termasuklah Allahyarham Haziq turut mengambil vaksin yang sama.

“Kita beri ruang supaya pihak hospital buat bedah siasat. Jangan timbulkan sebarang spekulasi yang tidak wajar. Kita hormati perasaan keluarga Allahyarham juga,” katanya menerusi Facebook, semalam.

Jenazah Allahyarham Haziq yang pernah mewakili negara dalam dua temasya Olimpik iaitu London pada 2012 dan Rio 2016 selamat dikebumikan di Jasin, Melaka lewat malam tadi.

Beliau juga sebelum ini banyak mencipta kemenangan di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Sukan SEA 2015 di Singapura dan Sukan SEA 2017 di Malaysia.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Shahira Abdul Halim. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan