29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Saya bukan zalim tapi mahu lindungi nyawa rakyat – Muhyiddin

Mesti Baca


CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau bukanlah zalim apabila menguatkuasakan semula larangan rentas daerah dan rentas negeri ketika umat Islam mahu menyambut 1 Syawal.

Sebaliknya tegas Perdana Menteri langkah itu terpaksa dilakukan bagi melindungi nyawa rakyat negara ini.

“Saya tahu, ini bukanlah satu keputusan yang popular. Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah Kerajaan ini?

“Saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, manalah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif COVID-19.

“Ini kerana ramai pesakit COVID-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Dia sendiri pun tidak tahu dia dijangkiti. Situasi seperti ini akan menyukarkan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Aidilfitri malam ini.

Perdana Menteri berkata, penularan wabak Covid-19 perkara main-main dan ia adalah satu keputusan yang sukar tetapi mesti dibuat.

“Keputusan ini tidak popular dan mungkin tidak memuaskan hati saudara dan saudari. Tetapi pada hemat saya ini yang tepat yang saya perlu lakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan saudara dan saudari sekalian.

“Saya faham dan sedar anda marah kepada saya tetapi ini ikhtiar saya dan kerajaan untuk jaga nyawa saudara dan saudari. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Muhyiddin menegaskan, beliau tidak menyatakan dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan ini memberi seratus peratus jaminan bahawa angka-angka COVID-19 di negara kita tidak akan meningkat.

“Tidak. Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana kita semua patuh kepada SOP yang ditetapkan. Ia bergantung kepada disiplin kendiri kita masing-masing. Sejauh mana kita berdisiplin dan beristiqamah dalam melawan virus ini.

“COVID-19 akan menjadi lemah jika kita dapat putuskan rantaiannya. Bagaimana nak putuskan rantaian? Elakkan berada di tempat yang sesak. Elakkan perkumpulan ramai. Jaga jarak fizikal anda dengan orang lain.

”Jangan duduk dekat-dekat. Sentiasa pakai pelitup muka. Sentiasa bersihkan tangan. Sentiasa jaga kebersihan diri. Jika tiada urusan penting di luar rumah, duduk sajalah di rumah. Stay at home,” katanya.

Beliau berkata, jika perkara itu dapat diamalkan, rantaian Covid-19 akan terputus kerana virus tersebut menjadi lemah.

“Dan insya-Allah akan dapat ditewaskan akhirnya. Jadi saya nak merayu kepada sadara dan saudari sekalian, tingkatkan disiplin diri, patuhilah SOP pada setiap masa. Duduklah di rumah. Tak perlulah ke sana sini kalau tiada urusan penting. Kita hidup di zaman pandemik.

“Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari perlindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa dan perlindungan yang terbaik ialah di rumah kita sendiri. Anggaplah ini sebagai suatu pengorbanan untuk kita bersama-sama melawan pandemik ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan