CYBERJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Zionis Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei 2021.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbuatan zalim tersebut bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya malah rejim Zionis Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
Menurut beliau, ramai rakyat Palestin yang tercedera dalam serangan tersebut.
“Pencerobohan di Masjid Al-Aqsa yang disasarkan terhadap para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hishamuddin menambah, Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya pengusiran secara paksa rakyat Palestin dari kediaman mereka termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis.
Beliau berkata, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas menentang kezaliman terbaru Israel itu.
“Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Palestin,” jelasnya.
Sementara itu, Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengecam sekeras-kerasnya serangan biadap rejim Zionis Israel ke atas umat Islam di Masjid al-Aqsa sehingga mencederakan lebih 178 orang rakyat Palestin yang sedang berkumpul di perkarangan masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam itu.
Menurut beliau, tentera rejim Zionis Israel bertindak biadap dengan melemparkan bom tangan dan bom asap, malah melakukan serangan dengan menembak para jemaah di dalam Masjid al-Aqsa menggunakan peluru getah.
Abdul Hadi berkata, tentera rejim Zionis Israel juga turut menahan ramai jemaah Masjid al-Aqsa dan penduduk Palestin yang berlindung di dalam mahupun di pekarangan Masjid al-Aqsa.
“Sememangnya tindakan ini sangat tidak berperikemanusiaan dan menambah luka umat Islam tatkala sedang menunaikan solat dan beribadat di penghujung Ramadan bulan yang mulia.
“Ketegangan semakin memuncak sejak beberapa hari lalu dengan pertengkaran hampir setiap hari mengenai ancaman Israel terhadap pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka dan tangkapan beberapa orang rakyat Palestin serta serangan yang dilancarkan di perkampungan Sheikh Jarrah.
“Saya menyeru seluruh umat Islam bermunajat kepada Allah SWT untuk kesejahteraan umat Islam di sana dan bersama-sama meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi aA-Quds. Isu Palestin adalah melangkaui isu umat Islam dan ini merupakan isu kemanusiaan sejagat,” jelasnya.
Beliau menambah, semua pihak dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan seluruh dunia Islam perlu mengambil tindakan tegas dan bertindak membela mangsa kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di bulan Ramadan yang suci. – EDISI 9