28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hari Wartawan Nasional, Utusan Melayu & Sayang Sarawak

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

DALAM suasana kebimbangan akibat situasi pandemik COVID-19 yang semakin menggila di seluruh dunia termasuk di Malaysia ketika ini, ramai yang terlupa tentang Hari Wartawan Nasional yang disambut hari ini.

Tarikh sambutan yang ditetapkan pada 29 Mei setiap tahun merupakan simbolik hari kelahiran Utusan Melayu pada tahun 1939.

Walaupun Utusan Melayu sendiri hanya mampu bertahan dalam masa beberapa bulan selepas berusia 80 tahun, dunia kewartawanan tempatan tetap subur berkembang dengan gandingan media lama dan baharu.

Portal-portal berita baharu yang muncul menggambarkan kebebasan media yang lebih luas berbanding 1980-an, 1990-an dan empat tahun pertama abad ke-21.

Utusan Melayu yang lahir pada 1939 sudah tinggal sejarah tetapi pewaris-pewarisnya termasuk portal Edisi 9 tetap meneruskan perjuangan suara keramat.

Selain itu, banyak lagi portal-portal lain yang dikendalikan oleh bekas-bekas wartawan Utusan Melayu.

Sekadar menyebut beberapa nama, antaranya Utusan TV, Bebas News, Suara Merdeka, Dagang News, Kita Reporters, KLIQ News dan Malakat Tribune.

Ramai juga yang meneruskan kerjaya dalam bidang kewartawanan bersama agensi-agensi media lain seperti Sinar Harian, Berita Harian, Bernama, Astro Awani, RTM, The Vibes dan Malaysia Now.

Memang ada rahmat yang tersembunyi di sebalik penutupan Utusan Melayu pada 10 Oktober 2019 di bawah Pengerusi Eksekutifnya yang terakhir, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Semangat perjuangan Utusan Melayu tidak terpadam selepas berlakunya peristiwa hitam dalam sejarah akhbar bahasa Melayu tertua di Malaysia itu.

Malah, bara perjuangan yang ketika itu kelihatan hampir malap terus memercikkan serpihan api dalam dunia kewartawanan tempatan sekali gus kembali membakar semangat yang berteraskan falsafah perjuangan Utusan Melayu yang asal seperti yang diamalkannya sebelum pengambilalihan kepentingan majoriti oleh UMNO pada 1961.

Yang benar pasti disokong dan yang salah pasti disanggah.

Hari Wartawan Nasional
Insentif khas kepada pengamal media yang diumumkan oleh Kerajaan Sarawak.

Terima kasih juga kepada Kerajaan Sarawak yang bermurah hati meluluskan insentif sekali bayar RM1,500 kepada rakan-rakan pengamal media di Bumi Kenyalang.

Kerajaan Sarawak turut mengiktiraf pengamal media sebagai barisan hadapan dalam perang menentang COVID-19.

Sesungguhnya insentif dan pengiktirafan Kerajaan Sarawak itu merupakan hadiah yang amat berharga sempena Hari Wartawan Nasional 2021.

Diharap kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri yang lain mencontohi budi baik yang ditunjukkan oleh Kerajaan Sarawak.

Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang jua.

Selamat Hari Wartawan Nasional 2021 kepada semua pengamal media Malaysia, khususnya ahli-ahli keluarga Utusan Melayu yang bertebaran di seluruh negara. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan