31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Balak saiz ‘luar biasa’ dari hutan Terengganu, bukan Pahang

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kayu balak bersaiz ‘luar biasa’ dibawa sebuah treler yang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Temerloh sebagaimana yang tular di laman sosial semalam bukan dari hutan Pahang.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjelaskan, treler bersama muatan kayu balak itu difahamkan dalam perjalanan dari Terengganu menghala ke sebuah kilang kayu di Selangor.

“Treler tersebut telah ditahan untuk pemeriksaan di RNR Gombak dan semakan oleh pihak JPNP mendapati kenderaan berat bersama muatan itu adalah sepertimana yang diviralkan melalui akaun Facebook milik seorang aktivis alam sekitar.

“Bagaimanapun hasil semakan mendapati maklumat lori dan balak yang dibawa sama dengan butiran yang dinyatakan dalam pas pemindahan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu,” jelas JPNP melalui satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, JPNP menghargai aduan berhubung perkara tersebut tetapi berharap ia disalurkan secara terus ke jabatan atau agensi kerajaan berkaitan termasuk JKNP agar tindakan lebih pantas dapat diambil.

“Jabatan ini sentiasa peka dan bertanggungjawab terhadap semua aduan yang dilaporkan bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil demi menjaga serta memelihara khazanah hutan negeri,”jelasnya.

Dokumen yang mengesahkan kayu balak dari hutan Terengganu. – Sumber: FB JHNP

Terdahulu, aktivis berkenaan, Khaidir Ahmad, memuat naik gambar lori yang membawa kayu balak besar yang sempat dirakam ketika berhenti di RNR Temerloh pada petang semalam.

Berdasarkan keterangan gambar serta gambar-gambar yang dikongsi, beliau curiga dengan kayu balak itu yang disyaki dari hutan simpan dilindungi berdasarkan saiznya yang begitu besar.

Sementara itu Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin kelihatan lega apabila JPNP mengesahkan balak tersebut bukan dari hutan Pahang.

“Bila keluar viral (tular) ni, ingatkan balak dari hutan Pahang, bila check (semak) balik rupanya bukan, tq (terima kasih) Jabatan Hutan Pahang,” katanya menerusi ciapan di twitter hari ini. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan