31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

UPSR mansuh mulai 2021, PT3 pula dibatalkan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang wujud dalam sistem pendidikan negara sejak 1988 dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung, petang tadi.

Menurut beliau, tiada peperiksaan khas yang baharu akan diadakan bagi menggantikan UPSR.

“Kita akan memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai 2021.

“Bagi kemasukan ke asrama, kemasukan adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK),” katanya.

Mohd Radzi menambah, bagi murid-murid berkeperluan khas pula, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) turut dimansuhkan.

Ketika menjelaskan dapatan sesi libat urus yang dijalankan Kementerian Pendidikan bersama para guru dan ibu bapa, beliau memberitahu, pelaksanaan UPSR dalam situasi pandemik COVID-19 menimbulkan isu dari kekangan masa terhadap guru-guru untuk menyelesaikan silibus subjek peperiksaan.

Pada masa yang sama, Mohd Radzi menambah, ibu bapa pula berpandangan masa yang ditumpukan untuk persiapan menduduki UPSR telah mengurangkan penglibatan anak-anak mereka dalam aktiviti lain.

“Ada ibu bapa yang menceritakan keluarga daripada sosioekonomi berbeza, mereka juga merasakan tekanan tersebut dalam konteks untuk menyediakan anak-anak mereka menduduki UPSR.

“Ada ibu bapa yang berkongsi keadaan di mana anak mereka berasa tertekan kerana perlu membuat persediaan yang begitu jitu bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan.

“Ada juga ibu bapa yang menceritakan bagaimana tumpuan pada 6A, kalau tak dapat 6A itu seolah-olah anak-anak itu tidak mendapat keputusan yang sewajarnya,” jelasnya.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut mengumumkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

Menurut Mohd Radzi, asas utama yang dipertimbangkan dalam keputusan membatalkan PT3 bagi 2021 adalah mengambil kira masa yang ada bagi pelajar-pelajar membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru-guru di sekolah.

“Jika kita lihat keadaan penularan COVID-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya.

“Kita mengambil kira keadaan semasa dan mengambil kira juga bahawa tanpa pelaksanaan PT3 tahun ini, kaedah pentaksiran murid masih boleh terus dilaksanakan untuk 2021 seperti tahun lalu berdasarkan tiga komponen utama iaitu PBS, Pentaksiran Psikometri (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan ke sekolah khusus pula akan dibuat berdasarkan PKSK. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan