27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Zahid tak pernah paksa Wanita UMNO sokong Anwar

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menafikan beliau bertemu dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

“Saya menafikan dakwaan bahawa wujud pertemuan antara Presiden dengan Wanita UMNO bagi meminta sokongan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Pertemuan sedemikian tidak pernah berlaku dan dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Saya minta pihak berkenaan tidak mengheret Wanita UMNO ke dalam kancah politik yang tidak sihat,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi itu mengulas tentang dakwaan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Exco Wanita UMNO, Datuk Shamsiah Mohd Yassin kononnya ada gerakan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Shahidan telah disingkirkan daripada jawatan tersebut dan tempatnya digantikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau yang seolah-olah tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan mengugut akan mendedahkan tentang gerakan yang ingin membawa UMNO bekerjasama dengan Anwar selepas Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran Facebook miliknya berkata, tindakan bingkas dan pantas Noraini menafikan dakwaan tersebut telah mencairkan fitnah.

Beliau turut mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang didakwa masih tidak sedar diri supaya menghentikan perbuatan mengadu domba.

Advertisements

“Perhimpunan Agong UMNO sebagai platform tertinggi parti telahpun buat ketetapan ‘NO DAP, NO PKR, NO PPBM!’

“Rakyat tidak mahu dengar lagi cerita politik dalaman UMNO!

“Cubalah selami isu rakyat ketika ini!

“Rakyat susah nak cari makan!

“Rakyat marah dilayani ‘dwi-standard’ dalam SOP dan kompaun!

“Rakyat kecewa ketika mereka mengikat perut, ada pemimpin masih berjoli sakan!

“Rakyat resah tak boleh bersama keluarga di kampung menyambut lebaran!

“Kalau masih ada sekelumit perasaan simpati dan belum ‘mati rasa’, fokuslah agenda bantu rakyat dan berani bersuara bagi menggemakan denyut nadi mereka!

“Paling tidak, lebih baik berdiam diri dan fokus mengejar pahala berganda di bulan penuh barakah dan maghfirah Ramadan al-Mubarak,” luahnya.

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan