25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kes audio tular: Polis sudah rakam percakapan Anwar

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dirakam percakapan berhubung kes rakaman audio perbualan antara dua individu yang dikatakan mirip Presiden PKR itu dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tindakan itu dilakukan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut beliau, Anwar telah hadir di ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan ditemani oleh peguamnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian setelah memperolehi perintah untuk menyiasat mengikut peruntukan Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah daripada Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Huzir menambah, rakaman video berdurasi empat minit 17 saat yang mengandungi perbualan antara dua individu yang didakwa mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid mula tular dalam beberapa laman sosial dan rangkaian telekomunikasi pada awal April lalu telah mencetuskan kebimbangan dan kegentaran kepada orang awam yang kemudiannya tampil membuat laporan polis.

Beliau memberitahu, siasatan telah dijalankan ekoran 18 laporan polis yang diterima daripada 17 wakil politik dan seorang awam.

Advertisements

“Mereka mendesak agar siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan atau mungkin terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah memalsukan rakaman audio tersebut dengan tujuan untuk mencetuskan kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni di antara kedua-dua parti politik.

“Penularan rakaman audio perbualan tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan kepada beribu komen netizen dalam media sosial memandangkan kedua-dua individu berkenaan adalah merupakan dua orang pemimpin politik yang berpengaruh,” jelasnya.

Huzir berkata, tindakan memanggil Anwar adalah merupakan satu prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan.

Menurut beliau, rakaman percakapan Anwar diperlukan bagi membantu siasatan tentang sejauh mana rakaman audio tersebut dapat disahkan sebagai perbualan di antara Ahli Parlimen Port Dickson itu dan Ahmad Zahid.

“Siasatan terperinci juga perlu dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio tersebut, motif ia disebarkan dan sama ada wujud modifikasi rakaman oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan