30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PRU-15: MIC cadang UMNO korban 10 peratus kerusi

Mesti Baca

CYBERJAYA – Sanggupkah UMNO mengorbankan sekurang-kurangnya 10 peratus kerusi miliknya untuk diberikan kepada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) termasuk MIC dan Perikatan Nasional (PN)?

Persoalan itu timbul berikutan saranan yang disuarakan oleh Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Perhimpunan Agung MIC ke-74 di Klang, hari ini.

Menurut beliau, adalah penting bagi pucuk pimpinan BN mencapai kata sepakat dengan PN dalam mencari formula terbaik bagi mengelakkan pertembungan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pastinya perlu ada sedikit pengorbanan dalam kalangan parti-parti dalam kedua-dua gabungan ini untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri di dalam pilihan raya demi mencapai matlamat yang lebih besar untuk membentuk kerajaan yang stabil dan melonjak kembali ekonomi negara yang terpincang akibat pandemik COVID-19.

“Yakinlah, tidak ada yang terlalu sukar jika kita melakukannya bersama-sama. Saya mahu supaya keputusan untuk mengadakan kerjasama dibuat secara meluas dan menyeluruh melalui permuafakatan dan musyawarah di dalam parti dan di antara parti,” katanya.

Vigneswaran turut menegaskan pendirian MIC yang mahu calon-calon parti itu diletakkan di kerusi-kerusi boleh menang.

“Jangan cuba menghina kami dengan memberi kerusi-kerusi pasti kalah kerana pelbagai faktor,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, MIC menghormati keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam PRU-15.

Vigneswaran menambah, buat masa ini, MIC menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekerjsama dengan PPBM sehingga Dewan Tertinggi BN membuat keputusan tentang perkara itu.

“Biar kita tunggu dan lihat pergerakan politik untuk jangka masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata, MIC juga yakin UMNO dan PPBM dapat menyelesaikan isu melibatkan kedua-dua parti seperti yang berlaku antara UMNO dan PAS.

Katanya, MIC yakin UMNO dan BERSATU dapat menyelesaikan perbezaan mereka sama seperti UMNO dan PAS menguburkan masalah mereka walaupun saling bermusuhan selama 40 tahun,” katanya.

MIC menerima tamparan hebat dalam PRU-14 apabila hanya mampu mempertahankan dua kerusi tradisinya iaitu di Cameron Highlands dan Tapah.

Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri S Subramaniam pula gagal mempertahankan kerusi Parlimen Segamat yang disandangnya setelah tewas di tangan Timbalan Menteri Wilayah Persekutan, Datuk Seri Edmund Santhara yang bertanding atas tiket PH.

Vigneswaran sendiri gagal menyandang kerusi Parlimen Kota Raja untuk penggal kedua apabila kalah kepada Dr Siti Mariah Mahmud yang bertanding sebagai calon PAS dalam PRU-11. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan