28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kerajaan, ibu bapa penentu kejayaan sistem pendidikan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Sejak kebelakangan ini bergema lagi isu lambakan graduan di Malaysia. Cerita sensasi ini bukanlah baru di negara kita dan ini pastinya akan berlaku sebagai respona awam setiap kali terbitnya sebarang bentuk fakta dan data berkaitan pengangguran.

Polemik ini timbul apabila Jabatan Perangkaan mengeluarkan laporan tentang pengangguran di Malaysia ketika ini telah mencecah sehingga 777,500 orang dan laporan www.jobsmalaysia.gov yang mencatatkan pendaftaran pemohon pekerjaan adalah seramai 174,127 orang yang terdiri daripada kalangan siswazah.

Sebelum itu, timbul pula isu kadar gaji dalam kalangan graduan baru universiti di Malaysia yang ketika ini menerima kadar gaji sekitar RM1980.00 ke RM 1990.00 sebulan sahaja (menurun pada tahun 2020 berbanding tahun 2018).

Antara alasan yang menyumbang kepada masalah ini adalah disebabkan persekitaran ekonomi yang tidak baik sejak Covid-19 melanda dunia.

Maka wujudlah pelbagai polemik yang boleh diterima sebahagian pendapat pelbagai pihak yang perlu dihormati. Ada juga bersifat retorik.

Pada pandangan penulis yang sudah berpengalaman berkecimpung dalam pendidikan dan latihan kemahiran awam dan swasta hampir 30 tahun, graduan dan institusi yang mendidik atau melatih mereka tidak boleh dipersalahkan bila berlaku situasi graduan menganggur setiap tahun.

Ini kerana, institusi pendidikan dan latihan kemahiran bertindak mengikut dasar, hala tuju dan arahan kerajaan memerintah.Menyalahkan graduan dan institusi pendidikan bukanlah tindakan tepat kerana kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan mencukupi turut menyumbang kepada masalah lambakan siswazah ini.

Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk melahirkan graduan yang menepati dengan kehendak masa depan, sesuai dengan zaman mereka dan tahan diuji zaman.

Kita seringkali bercakap dan berfokuskan kepada graduan yang berteraskan sains, teknologi dan teknikal. Manakala bidang sains sosial, sastera dan keagamaan seringkali menjadi mangsa sebagai lulusan yang bermasalah kebolehpekerjaan.

Sebenarnya, adalah menjadi tugas kita untuk menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk mereka ini. Pekerjaan tidak semestinya makan gaji tetapi memperolehi pendapatan cara lain seperti menjadi usahawan atau tenaga separuh masa/ tenaga kerja bebas seperti sektor gig (gig industry).

Sebagai contoh, industri kreatif hari ini memerlukan banyak kepakaran dalam menghasilkan karya seni. Ledakan media sosial dan perniagaan digital, memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam dunia penulisan, pengiklanan dan karya-karya kreatif.

Kepakaran graduan sastera dan seni inilah yang sangat diperlukan. Namun, sudah cukupkah usaha kita menggalakkan persekitaran perniagaan ini supaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan?

Ramai yang tidak memahami bahawa pendidikan bukanlah semata-mata soal menepati penawaran dan permintaan pekerjaan tetapi juga melibatkan keberhasilan lain yang berbentuk intelektual, rohani, emosi dan jasmani, seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Pendidikan adalah bersifat universal untuk seseorang graduan memilih kerjaya masa depan dan menelusuri kelangsungan hidup.

Penentuan kemenjadian seseorang graduan bukanlah berlaku sekelip mata (over night) tetapi memerlukan satu proses berterusan sejak di bangku sekolah lagi. Jika sistem pendidikan kita bersifat ‘tahan diuji zaman’, kita hanya perlu menambah atau mengadaptasikan keperluan kemahiran lain sama ada berbentuk ‘soft skills’, mahupun ‘hard skills’.

Selain persekitaran sekolah atau pengajian tinggi, ibu bapa juga turut berperanan untuk melahirkan anak-anak yang berpendidikan dan berkemahiran yang bersifat sustainable atau tahan diuji zaman ini.

Dalam hal ini, penulis sendiri mempunyai pengalaman dalam membentuk masa depan pendidikan anak-anak supaya sesuai dengan tuntutan zaman dan masa depan mereka.

Kelima-lima anak penulis memilih kerjaya yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi tetapi sesuai dengan minat dan citarasa mereka. Kesemuanya diasuh dan dibentuk sejak kecil melalui persekitaran yang disediakan dan digalakkan oleh penulis sendiri.

Anak sulong penulis, Aliyah Ilmi Nordin menerima Anugerah Kepimpinan Masa Depan daripada Profesor Stephen Boyle, Dekan Akademik Jabatan Pengurusan Perniagaan, Universiti South Australia (UNISA) pada tahun 2018.

Anak sulung penulis adalah anak perempuan yang kini memegang jawatan penting di sebuah organisasi yang menguruskan kontraktor elektrik dan komunikasi di Australia.

Walaupun usianya baru mencecah 26 tahun, beliau dipertanggungjawabkan mentadbir kewangan dan ratusan kakitangan sepenuh masa dan separuh masa.

Maka gajinya sudah pasti jauh lebih lumayan, berbanding gaji graduan baru di Malaysia. Bakat akauntan yang memerlukan kepakaran matematik telah terlihat ketika beliau begitu meminati program Mental Aritmetik ketika berusia tujuh tahun. Penulis telah menggalakkan aktiviti berkenaan.

Bagi anak kedua penulis, ketika ini mahasiswa doktor perubatan verterinar di sebuah universiti tempatan, begitu terdedah dengan persekitaran ladang penulis yang dikelilingi haiwan seperti kambing, lembu, ayam dan kuda.

Kecenderungannya sejak kecil, menanam minat yang mendalam terhadap dunia haiwan, hingga beliau memilih bidang perubatan tersebut.

Namun, cita-citanya mahu menjadi usahawan ternakan sudah terbina ketika ini kerana beliau begitu aktif menguasahakan ayam kacuk kampung di universiti beliau, termasuk menjadi fasilitator kepada golongan asnaf di Kelantan untuk meningkatkan ekonomi dalam penternakan ayam kacuk.

Tiga lagi anak penulis memilih bidang keusahawanan multimedia, pereka perisian komputer dan pereka fesyen. Semuanya adalah hasil asuhan dan persekitaran yang didorong oleh penulis sebagai bapa mereka, mengikut minat dan cita-cita mereka.

Ramai yang tidak faham fungsi sistem pendidikan dan latihan kemahiran. Lebih memburukkan keadaan ialah pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyediakan persekitaran pekerjaan yang mencukupi menyalahkan institusi pendidikan dan latihan yang kononnya menjadikan lambakan graduan berlaku.

Kita sepatutnya memanfaatkan kelebihan yang kita ada untuk menyemarakkan cerdik pandai dalam negara untuk mengejar status negara maju.

Negara seperti United Kingdom mempunyai banyak universiti awam dan swasta tetapi lambakan bukan isu di negara mereka.
Malah universiti menjadi sebahagian industri yang menjana pendapatan negara.

Seperti selalu saya katakan, kita lebih banyak beretorik daripada mencari formula untuk menjadi sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

Itu belum lagi retorik pendidikan percuma yang pernah dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak yang dulu berdentum-dentam ketika menjadi pembangkang.

Hari ini, nak berbincang soal mempermudahkan pinjaman pelajar pun mereka tidak berminat untuk berunding secara serius. Maka cakap tak serupa bikin. Malah kadangkala lebih teruk lagi, apabila perangai pembangkang dibawa sesudah memerintah. Pantang kita bercakap, tetap mereka bangkang.

Apakah isu graduan ini akan berulang lagi? Ya, selagi kita tidak faham fungsi pendidikan, merancang pendidikan dan menyediakan ruang ekonomi yang baik untuk menyediakan peluang pekerjaan.

Lambakan graduan adalah salah kita semua, maka kita wajib bertanggungjawab dengan semua kesilapan kita itu.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9


Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan