31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jangan putuskan silaturahim sesama Islam – Ahmad Zahid

Mesti Baca


CYBERJAYA – Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan umat Islam untuk menjaga silaturahim sesama mereka.

Dalam catatan melalui Facebook beliau, Presiden UMNO itu berkata, memutuskan silaturahim adalah perkara yang ditegah dalam Islam bahkan ia berdosa meurut ijmak ulama.

‘’Kita semua sama sahabat saya sekalian. Islam dan Melayu yang sama. Jangan sesekali putuskan hubungan kerana Islam mementingan persaudaraan. Islam mengajar umatnya setiap kejahatan yang dilakukan terhadap seseorang Muslim tidak boleh dijadikan asbab terputusnya hubungan baik dan kebaikan,’’ katanya.

Berikut catatan penuh beliau;

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan taulan dan sahabat saya sekalian. Saya doakan semuanya dalam rahmat Ilahi dan diterima segala amal ibadahnya.

Ramadan akan menjengah kita tiga hari lagi. Bagaimana dengan persiapan kita dalam menyambut bulan yang mulia ini. Bagaimana pula dengan hubungan silaturahim kita sesama saudara mara, adik beradik dan rakan taulan?

Sahabat saya semua. Memutuskan hubungan silaturahim adalah perkara yang ditegah dalam agama Islam bahkan ia berdosa menurut ijmak ulama.

Dunia makin maju semuanya dihujung jari. Pernahkah kita terfikir dengan setiap tulisan kita di media sosial boleh menyentuh hati dan perasaan orang lain.

Sedar atau tidak kita mungkin membuatkan orang lain berasa marah sekaligus memutuskan hubungan silaturahim yang sudah lama dibina. Jangan kerana perbedaan pendapat, ideologi dan buah fikiran kita mencaci sesama sendiri, memaki hamun, menuduh, memfitnah dan membuat perkara yang boleh merenggangkan hubungan.

Berdasarkan hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Amru RA, daripada Nabi SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang itu digelar al-Wasil (penyambung silaturahim) apabila dia bersifat al-Mukafi`i (orang yang menyambung silaturahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi al-Wasil itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturahim, beliau segera menyambungkannya.”
(Riwayat al-Bukhari)

Kita semua sama sahabat saya sekalian. Islam dan Melayu yang sama. Jangan sesekali putuskan hubungan kerana Islam mementingan persaudaraan.

Islam mengajar umatnya setiap kejahatan yang dilakukan terhadap seseorang Muslim tidak boleh dijadikan asbab terputusnya hubungan baik dan kebaikan.

Dalam agama suci ini, silaturahim yang disyariatkan adalah saling mengasihi, memuliakan dan memberi maaf kepada orang yang berbuat zalim kepada kita.

Semua itu dilakukan semata-mata kerana Allah SWT bukan bertujuan untuk mendapatkan pujian serta habuan dunia.

Seseorang Muslim hendaklah terus menghubungkan silaturahim terutama dengan kaum kerabat dan saudaranya yang lain meskipun mereka tidak menerima tindakannya itu dengan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda;

Maksudnya: “Bukanlah orang yang menyambung (silaturrahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.” Riwayat al-Bukhari (5991)

Allah SWT berfirman,:

Maksudnya:

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”. (Surah al-Nisaa’:1)

Saya mengajak kepada sahabat saya sekalian bersempena kedatangan bulan penuh rahmat, bulan penuh keampunan, bulan penuh keberkatan, bulan seribu bulan, yaitu bulan Ramadan yang semua umat Islam nantikan tidak lama lagi, maka bersamalah kita perbaiki tutur kata bahasa kita dan eratkanlah hubungan silaturahim.

Dan janganlah kita menzalimi orang lain sebaliknya saling memaafkan orang yang menzalimi kita.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan