28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kenapa Najib mahu seret Bersatu dalam kemelut UMNO?

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya tidak menyeret parti Bersatu dalam kancah pergolakan melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO.

Tindakan Najib menuduh Bersatu sebagai yang cuba memecah belahkan dan memusnah UMNO boleh dianggap melampau kerana Bersatu di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah berhasrat berbuat demikian.

Kalau Muhyiddin mahu memecah belahkan dan memusnahkan UMNO sudah tentu Perdana Menteri tidak akan mengajak UMNO menyertai Kerajaan Perikatan Nasional.

Sebagai orang cukup rapat dengan Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, Najib patut bertanya kepada Presiden UMNO siapakah yang meminta supaya UMNO dibubarkan? Apakah Muhyiddin atau Tun Dr.Mahathir Mohamad?

Bertanyalah kepada Ahmad Zahid apa yang Dr. Mahathir kata kepada beliau, ketika Ahmad Zahid bertemu dengan Dr. Mahathir di Yayasan Perdana beberapa hari selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU-14.

Sepanjang Muhyiddin menjalinkan kerjasama dengan UMNO, apakah bukti yang menunjukkan Perdana Menteri melakukan sesuatu bagi melemahkan parti itu? Berapa kalikah Muhyiddin membuat kenyataan mengecam atau memperkecilkan UMNO?

Tidakkah Najib tahu bahawa dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, Perdana Menteri telah membantu UMNO dan Barisan Nasional. Apakah bantuan itu? Najib boleh bertanya kepada Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional tahu apa yang berlaku di PRN Sabah. Munasabahkah orang yang dituduh mahu memusnahkan UMNO akan berbuat demikian?

Najib sepatutnya lebih rasional dan berpijak di bumi nyata untuk menerima hakikat bahawa kemelut yang berlaku di dalam UMNO bukan berpunca daripada Muhyiddin mahupun Bersatu tetapi dikatakan disebabkan kelemahan kepemimpinan Ahmad Zahid.

Tetapi Ahmad Zahid dilihat cuba menutupi kelemahan itu dengan menghalakan ‘serangan’ kepada Perdana Menteri dan Bersatu.

Atas sebab itulah, beliau sentiasa sahaja mewujudkan persepsi dalam kalangan ahli-ahli UMNO bahawa Bersatu mahu menghancur dan melemahkan UMNO serta menuduh UMNO tidak dibantu oleh Muhyiddin.

Advertisements

Pergolakan yang berlaku dalam UMNO tiada kaitan dengan Muhyiddin mahupun Bersatu. Pergolakan itu berlaku kerana Ahmad Zahid dilihat tidak ada kemampuan untuk mengawal parti.

Daripada Najib menuduh Bersatu yang bukan-bukan, lebih baik Najib mendapat penjelasan daripada Ahmad Zahid, apakah itu ‘penjajaran baharu’?

Tak kanlah sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan hebat, Najib boleh percaya bulat-bulat dengan hujah Ahmad Zahid bahawa ‘penjajaran baharu’ itu adalah kerjasama dengan Pas seperti mana ucapan beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Kita faham Najib mungkin mahu menyelamatkan kedudukan Ahmad Zahid yang semakin terancam selepas tersebarnya rakaman mirip suara Presiden UMNO itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim , tetapi kenapa cuba mengalih isu dengan mengaitkan Bersatu dalam agenda mewujudkan UMNO 3.0.

Kenapa tidak Najib bertanya kenapa Ahmad Zahid apakah rakaman audio itu tulen atau palsu?

Oleh kerana Ahmad Zahid berkata, rakaman itu adalah percaturan politik jijik dan keji bagi memusnahkan UMNO, kenapa Najib tidak minta Ahmad Zahid membuat laporan polis supaya siasatan terperinci dilakukan untuk mengetahui apakah perbualan itu benar-benar berlaku atau ia fitnah.

Atau adakah Najib merestui tindakan Ahmad Zahid untuk mewujudkan ‘Penjajaran baharu’ yang dikaitkan dengan soal kerjasama UMNO dengan Anwar dan PKR – yang pastinya DAP akan dirangkul bersama? Sekadar bertanya.

Penulis juga ‘tertarik’ dengan hujah Najib bahawa bekerjasama dengan Bersatu bertentangan suara akar umbi memandangkan 143 daripada 190 bahagian memutuskan UMNO perlu menamatkan kerjasama dengan PPBM.

Cuma penulis tertanya-tanya benarkah keputusan bahagian itu adalah keputusan akar umbi?

Jika Najib yakin memutuskan hubungan dengan Bersatu itu adalah keputusan 143 bahagian dan menyatakan pemimpin UMNO 3.0 (yang mahu mempertahankan kerjasama dengan Bersatu) akan dihukum dengan dahsyat dalam pemilihan parti, kenapa Najib tidak mengesyorkan supaya pemilihan tidak ditangguhkan sebaliknya diteruskan pada bulan Jun ini.

Sebagai individu yang dilihat ramai orang lebih berpengaruh daripada Ahmad Zahid dalam UMNO, kalau Najib minta pemilihan tidak ditangguhkan pasti ‘akar umbi’ akan menyokong.

Kesimpulannya Najib tidak perlulah menjadikan Bersatu sebagai sasaran untuk mempertahankan Ahmad Zahid. Penulis percaya pemimpin-pemimpin UMNO mempunyai pandangan berbeza termasuklah dalam hubungan dengan Bersatu.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan