26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ekonomi negara semakin goyah, pelabur mula lari

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bimbang melihat situasi semasa ekonomi negara yang semakin goyah.

Menurut beliau, semua pihak sudah menyaksikan satu demi persatu syarikat antarabangsa memindahkan operasi dari Malaysia ke negara lain.

“Ini bukan soal ekonomi global. Ia berkait rapat bagaimana kita mahu memulihkan ekonomi Malaysia. Ia juga berkait rapat kestabilan politik, ketetapan dasar, ketetapan cukai dan kemampuan menangani kes COVID-19.

“Jika keyakinan pelabur tiada, bagaimana mereka mahu membuka perniagaan di Malaysia?,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas tentang hasrat Citigroup Inc untuk keluar dari francais penggunanya di 13 pasaran termasuk Malaysia seperti yang disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jane Fraser pada minggu lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menambah, jika hasrat itu dilaksanakan, ia bermakna bank berkenaan akan mengendalikan francais mereka hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan London.

“Kenapa Singapura dan bukan Malaysia sedangkan dua negara ini saling berdekatan. Saya fikir sahabat saya sekalian tahu jawapannya. Saya percaya jika kita bertanyakan pihak pemerintah, jawapan yang akan diberikan adalah ia kesan ekonomi global.

“Saya juga percaya mereka akan beri jawapan selain Malaysia, 12 negara lain yang terjejas adalah Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

“Dan semalam Pengurus Perniagaan Pengguna Citi Malaysia, Elaine Fan pula memberitahu semua produk perkhidmatan sedia ada akan diteruskan. Tidak akan ada perubahan sehingga mereka memaklumkan perubahan pada masa depan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sememangnya semua pihak mengharapkan pengekalan itu berlaku dalam tempoh yang panjang kerana ia melibatkan ekonomi dalaman Malaysia.

“Jika rangkaian bank ditutup bagaimana dengan cawangan, ATM, pusat panggilan, pendeposit dan pejabat? Tentunya akan ditutup bukan?

“Lebih parah apabila kita bakal menyaksikan ramai pekerja tempatan diberhentikan kerja sekali gus menambahkan kadar pengangguran.

“Tidak kurang juga FDI negara, cukai dan sumbangan ekonomi negara akan terus berkurangan,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan