32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Darurat bukan bermakna ketepi akauntabiliti, ketelusan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa pelaksanaan Darurat tidak bermakna akauntabiliti dan ketelusan boleh diketepikan dalam apa juga keadaan sekali pun.

Beliau berkata, tindakan kerajaan meminda Ordinan Darurat untuk memberikan kuasa kepada kerajaan menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sangat membimbangkan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, keabsahan tindakan pindaan ordinan tersebut tidak semestinya memberikan ia legitimasi moral.

“Sesuatu yang sah dalam darurat mestilah juga sesuatu yang dipandu dan diputuskan dengan nilai, moral dan prinsip.

“Apa lagi bila ia melibatkan perbelanjaan dana awam. Tiada keadaan walau serumit dan sesukar mana sekalipun, wajar melepaskan kerajaan dari ‘rigorous scrutiny’ dalam membelanjakan wang rakyat dan hasil negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad menambah, kerajaan Malaysia masih lagi kerajaan awam dan bukannya junta tentera.

Maka, beliau memberitahu, kerajaan sewajarnya bertindak dengan norma dan tatakelola yang sesuai dengan sifat sebuah kerajaan awam.

“Malah semasa dalam kedudukan darurat lah, kerajaan mesti lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membelanjakan hasil negara kerana kelumpuhan mekanisme semak dan imbang serta perlembagaan yang tidak berfungsi,” jelasnya.

Mohamad berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti dengan segera melakukan perkara yang betul dan sewajarnya untuk negara ini dan kepentingan demokrasi Malaysia.

“Malaysia dan rakyatnya wajar mendapat kewibawaan yang lebih baik dari pemerintah,” katanya.

Melalui pindaan tersebut, Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Ini bermakna ketua kerajaan dan ketua kerajaan negeri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.

Sebelum ini, sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri yang berhubungan dengan perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi negeri serta perbelanjaan tambahan, memerlukan suatu Akta atau Enakmen atau ketetapan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan negeri (DUN) bagi negeri dan pengeluaran daripada mana-mana Kumpulan Wang itu.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 itu, diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu berikutan pandemik COVID-19.

Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati dengan tindakan serta-merta yang dikehendaki bagi menjamin dan mengekalkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Perkara terbabit digariskan dalam ordinan yang dikeluarkan hari ini, yang bermakna bagi tempoh darurat berkuat kuasa, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi sesuatu negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi sesuatu negeri. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan