32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ringgit bukan mata wang terindah di dunia?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh AMREE AHMAD
 
SIAPA sangka selepas hampir sedekad berlalu, ringgit terus kekal langsung tiada pun dalam senarai akhir kelompok 24 mata wang terindah di dunia untuk pencalonan bagi tahun 2020.
 
Demikian laporan terbaharu diterbitkan Persatuan Not Bank Antarabangsa (IBNS), sebuah badan bebas penilaian profesional mata wang sejagat yang berpusat di Britain baru-baru ini.
 
Setelah tempoh akhir pencalonan ditutup secara rasmi pada 31 Januari lalu, ringgit disahkan tidak termasuk dalam penyenaraian anugerah berprestij mata wang paling indah di dunia itu.
 
Kali terakhir ringgit pernah ‘bangga’ menyertai pencalonan elit itu ialah pada 2012 apabila not polimer baharu RM5 disenarai akhir antara 13 mata wang diiktiraf sebagai tercantik di dunia.
 
Bagaimanapun, not yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) itu tewas di peringkat penilaian profesional apabila ia dimenangi nota 5,000 tenge keluaran bank pusat Kazakhstan.
 
Kali ini, setelah sembilan tahun berlalu, ringgit mengekalkan â€˜status quo’ tiada dalam senarai akhir untuk anugerah antarabangsa itu yang dimulakan secara formal rasmi pada 2004 lalu.
 
Antara nota disenaraikan bagi 2020 ialah dari Arab Saudi, Australia, Bahamas, Brazil, Bulgaria, England, Fiji, Ireland Utara, Scotland, Thailand, Trinidad Tobago, Tunisia, Ukraine dan Qatar.
 
Paling curi tumpuan ialah penyertaan not bank dari negara yang dianggap agak ‘miskin daif’ seperti Bangladesh, Costa Rica, Indonesia, Lubnan, Mexico, Namibia, Nepal dan Zimbabwe.
 
Tiga not daripada itu; 20 pound Ireland Utara, 1,000 baht Thailand dan 10 peso Mexico pula dijangka bersaing sengit kerana direka unik secara menegak yang berpotensi untuk menang.
 
Apatah lagi, juara 2019, not 100 florin Aruba direka secara vertikal selain johan sebelumnya, iaitu 10 dolar Kanada (2018), 10 franc Switzerland (2017) dan 50 franc Switzerland (2016).
 
Malah, rekod IBNS menunjukkan format itu tinggi peluang menang seperti diraih Kazakhstan tiga tahun berturut melalui 1,000 tenge (2013), 5,000 tenge (2012) dan 10,000 tenge (2011).

Not 100 florin Aruba. Gambar: Bank Note News

Tidak ketinggalan not 2 dollar Bermuda yang menjuarai pada 2009, manakala selebihnya selama lapan tahun dikuasai mata wang pelbagai negara direka melintang atau horizontal.
 
Menurut kenyataan sekretariat IBNS, pemenang 2020 akan diumumkan secara rasmi sekitar April depan setelah selesai melalui proses penilaian ketat oleh pelbagai pakar yang berkaitan.
 
Ini termasuk dari sudut merit artistik, reka bentuk imaginatif dan ciri-ciri keselamatan terbaharu di not tersebut sebelum layak dinobatkan sebagai mata wang terindah di peringkat sejagat.
 
Meskipun IBNS tiada menawarkan hadiah berbentuk wang tunai kecuali sijil pengiktirafan, anugerah tahunan itu amat dinanti-nantikan jutaan pengumpul tegar mata wang asing global.
 
Keindahan not ini mampu meningkatkan lagi nilai tambah kertas bersifat intrinsik tersebut dari segi seni reka unik dan sejarah apabila diniagakan dalam acara lelongan wang antarabangsa.

Advertisements

Ringgit mungkin perlu ‘belajar’ lagi untuk bersaing dengan jiran kita, rupiah Indonesia dan baht Thailand yang tampak jauh lebih kreatif dalam memartabatkan not negara di persada dunia!  

Apatah lagi, ia tidak pernah berubah sejak siri keempat pada 16 Julai 2012 lalu dan hanya bertukar corak tandatangan Gabenor BNM disebabkan peralihan tiga kali penyandangnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan