33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pemuda UMNO ingatkan kerajaan jangan mandulkan demokrasi berparlimen

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menangguhkan Parlimen dan menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh Darurat.

Ketuanya, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba untuk memandulkan institusi demokrasi dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk berbahas dan membawa isu serta masalah mereka di Parlimen.

‘’ Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.

‘’Keputusan ini bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri,’’ katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau menegaskan, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

‘’Malah tegas Pengelola Bijaya Diraja lagi bahawa “…tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat,’’ katanya.

Justeru kata beliau, Pemuda UMNO berpendapat, Parlimen harus dibenarkan bersidang dengan SOP ketat dalam situasi Covid-19, bagi membolehkan keberkesanan mekanisme semak dan imbang buat Kerajaan sebagaimana tuntutan dan amalan demokrasi.

‘’Rakyat tentu sekali sukar untuk menerima alasan penangguhan Parlimen yang dibuat Kerajaan bahawa sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19.

‘’Sedangkan pasar malam, pusat-pusat membeli belah, kedai makan, restoran hatta sekolah rendah dan menengah juga telah dibenarkan beroperasi dalam tempoh darurat. Malah proses vaksinisasi juga sudah dimulakan terhadap Ahli-Ahli Parlimen,’’ katanya.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan