33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kumpulan militan kejam penggal kepala kanak-kanak

Mesti Baca

LONDON – Ramai kanak-kanak menjadi mangsa keganasan termasuk dipenggal kepala ketika puak militan melancarkan pemberontakan di wilayah Cabo Delgado, Mozambique.

Malah, ada di antara mereka yang baru berusia 11 tahun ketika dibunuh.

Pertubuhan Save The Children dari United Kingdom kesal dengan tragedi yang melibatkan kanak-kanak di wilayah yang kaya dengan sumber gas asli itu.

Memetik laporan AFP, kira-kira separuh daripada 2,600 mangsa yang terkorban dalam konflik tersebut adalah orang awam manakala 670,000 orang terpaksa menjadi pelarian.

Seorang wanita yang enggan dikenali mendakwa pemberontak telah memenggal kepala anaknya yang berusia 12 tahun.

Ketika kejadian, dia bersembunyi dengan tiga anaknya yang lain.

“Malam itu, kampung kami diserang dan rumah kami dibakar. Kami cuba melarikan diri ke hutan berdekatan, tetapi anak sulung saya ditangkap.

“Mereka penggal kepalanya, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana kami juga mungkin dibunuh,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita lain sedih kerana tidak dapat mengebumikan anak lelakinya yang dibunuh kumpulan militan.

“Selepas anak lelaki saya berusia 11 tahun dibunuh, kami sedar bahawa perkampungan itu tidak lagi selamat.

“Kami lari ke rumah bapa saya di kampung lain, tetapi beberapa hari kemudian, serangan turut berlaku di sana,” jelasnya.

Pengarah Save the Children Mozambique, Chance Briggs memberitahu aspek keselamatan di negara terbabit merosot teruk dalam tempoh 12 bulan lalu, berikutan serangan yang semakin meningkat.

“Kami sangat jelak dengan laporan serangan yang menyasarkan kanak-kanak ini. Keprihatinan kami ketika ini terarah kepada keperluan sumber asas yang tidak mencukupi, tetapi ia perlu disalurkan kepada mereka dan ahli keluarga.

“Hampir sejuta orang mengalami kebuluran angkara konflik ini, termasuk mereka yang hilang tempat berteduh dan komuniti pelarian,” katanya.

Krisis kemanusiaan di wilayah itu semakin meruncing disebabkan banjir tahun lalu dan puting beliung Kenneth yang melanda utara Mozambique pada 2019.

Kumpulan militan yang dikenali sebagai Al-Shabaab, yang tiada kaitan dengan kumpulan menggunakan nama sama di Somalia, melancarkan siri pemberontakan pada 2017.

Malah, mereka turut menyatakan taat setia kepada kumpulan militan Daesh pada 2019.

Pada November lalu, Al-Shabaab melancarkan siri serangan terhadap kawasan perkampungan, dengan orang ramai mendakwa rumah mereka dan bangunan awam dibakar, manakala beberapa orang dibunuh.

Sumber tempatan memaklumkan, pasukan militan berkenaan ketika itu turut memenggal kepala lebih 12 lelaki dan kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan