26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

PATI Bukit Malut terjun laut elak kena cekup

Mesti Baca

LANGKAWI – Pelbagai taktik digunakan oleh sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk terjun ke laut apabila diserbu oleh Jabatan Imigresen di Kampung Bukit Malut awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, mereka berbuat demikian melalui pintu belakang ketika pemeriksaan dijalankan terhadap 32 rumah atas air.

“Ada juga yang melarikan diri bersembunyi di kawasan belukar berhampiran. Namun usaha mereka gagal kerana kawasan itu sudah dikepung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, seramai 18 PATI warga Myanmar berusia antara 16 hingga 38 tahun ditahan dalam Operasi Sapu selama tiga jam bermula pukul 12.40 tengah malam tadi.

Zuhair menambah, mereka yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita atas kesalahan gagal mengemukakan pas yang sah untuk tinggal di negara ini.

Beliau memberitahu, semua PATI itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka yang ditahan turut menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Kuah sebelum dibawa ke lokap imigresen di Alor Setar, seterusnya diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik,” jelasnya.

Zuhair berkata, secara keseluruhan, seramai 262 individu diperiksa dalam operasi melibatkan 25 pegawai imigresen itu.

“Operasi hasil maklumat dan risikan ini antara beberapa siri yang bakal dilaksanakan sehingga tertangkapnya dalang membawa masuk PATI ke Langkawi,” tegasnya.

Sebelum ini, isu penempatan PATI di Bukit Malut telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan pendudukan setempat dan mereka menggesa pihak berkuasa segera bertindak menanganinya.

Selain pembinaan struktur tanpa kelulusan, PATI di kawasan tersebut tidak menjaga kebersihan dan membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam laut.

Bukit Malut turut menjadi sarang penagih dadah mendapatkan bekalan dan melepaskan gian walaupun telah digempur oleh pihak berkuasa sebanyak beberapa kali.

Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan berhubung kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan orang yang berpusat di Bukit Malut.

Difahamkan, penempatan ini mula dibuka sejak awal 1980-an oleh pelarian Myanmar, yang membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum ia terus berkembang sehingga ke kawasan berbukit.

Penduduk asal Langkawi menganggap Bukit Malut sebagai misteri kerana penghuninya kurang bercampur dengan orang tempatan, walaupun kebanyakan mereka mulai terbabit dalam kegiatan ekonomi setempat termasuk memiliki perniagaan sendiri. – EDISI 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan