25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kalimah Allah: Wanita UMNO, Muslimat PAS gesa kerajaan rayu

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS berharap agar kerajaan segera mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang membenarkan penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Kenyataan penuh kedua-dua sayap wanita dalam Muafakat Nasional (MN) itu adalah seperti berikut:

Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS menyokong penuh ketetapan yang dibuat MN iaitu menggesa kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Wanita UMNO dan Dewan Muslimat PAS  merayu agar kerajaan segera mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang merupakan episod malang buat umat Islam di negara ini.

Selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan demi menjaga kesucian agama Islam, sewajarnya penggunaan kalimah Allah tidak seharusnya dibenarkan penggunaan dalam kalangan bukan Islam.

Ia bukan saja bagi memelihara kesucian agama Islam yang merupakan agama rasmi di negara ini, tetapi juga untuk memastikan keharmonian hidup masyarakat yang berbilang agama dan kaum dengan menghormati hak dan kebebasan beragama yang telah diterapkan di negara ini sejak sekian lama.

Kebenaran kepada bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah dikhuatiri menjadi satu provokasi kepada umat Islam dan menjejaskan kedamaian sedia ada.

UMNO dan PAS secara konsisten dari awal lagi menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Sekali lagi kami menyeru dan merayu kerajaan agar segera mengemukakan rayuan bagi mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan oleh bukan Islam.

Advertisements

Kelmarin, MN menggesa kerajaan Persekutuan membawa kes kebenaran bukan Islam menggunakan kalimah Allah ke penghakiman Mahkamah Rayuan.

MN berkata, mereka memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.

Kelmarin, media melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Ketika membaca penghakimannya, Nor Bee berkata, mahkamah membenarkan deklarasi dalam mengamal kebebasan beragama yang terlindung dalam Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, suatu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan antara warganegara antara lain atas alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang.

“Selain itu, deklarasi bahawa arahan kerajaan pada 5 Disember 1986 adalah salah di sisi undang-undang dan tidak berperlembagaan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan