28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

FS Turmeric Cream dikesan mengandungi racun berjadual

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Orang ramai digesa mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik FS Turmeric Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan dan produk berkenaan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Menurut beliau, produk tersebut dikesan mengandungi betamethasone 17-valerate iaitu ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Beliau berkata, penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Pemakaian krim ini boleh menipiskan kulit muka dan mudah mengalami iritasi. – Sumber: Laman Web KP Kesihatan.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” kata Noor Hisham dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Serta denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Tambah beliau, orang awam yang sedang menggunakan produk FS Turmeric Cream dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store, katanya. – Edisi9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan