28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Apa nasib tapak relau besi dunia Sungai Batu?

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Benarkah projek jalan raya akan dibina di kawasan tapak arkeologi peleburan besi di Sungai Batu, Kedah?

Sekiranya perkara itu benar, ia amat menyedihkan kerana kawasan yang terkenal dengan julukan ‘relau besi dunia’ itu mungkin lenyap begitu sahaja di bawah lapisan tar yang keras lagi beku.

Seorang penulis media sosial, Mohd Jamalee dalam laman Facebook miliknya baru-baru ini meluahkan kebimbangan tentang nasib yang bakal menimpa tapak arkeologi Sungai Batu.

Beliau berpandangan, pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengambil langkah mewartakan kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Ada pencinta sejarah berpendapat tapak-tapak macam ni amat malang sekali berada dekat Malaysia.

“Kalau tapak macam ni berada di Indonesia, atau Thailand, atau Kemboja, atau Korea, atau Jepun, atau negara-negara Eropah, pasti perkara pertama yang akan dibuat ialah penjagaan dan pewartaan tapak sebagai tapak warisan negara.

“Sedangkan Stonehenge yang ada beberapa batu megalitik pun dijaga. Apatah lagi kalau tinggalan itu Relau Besi Dunia,” jelasnya.

Merujuk maklumat yang disiarkan dalam Wikipedia, tapak arkeologi di Sungai Batu, Bukit Batu Pahat, Merbok di Kedah dipercayai wujud pada tahun 3 Masihi.

Tamadun Kedah kuno pula dicatatkan sebagai tamadun yang kedua tertua di Asia Tenggara selepas Kerajaan Khandis Sumatera dan sezaman dengan tamadun Rom serta Greek.

Sungai Batu
Salah satu artifak purba yang ditemukan di tapak arkeologi Sungai Batu. Gambar: Carian Internet

Selain menjadi pusat peleburan besi, Sungai Batu juga merupakan pelabuhan kapal dagang dan beberapa buah kapal dagang berusia kira-kira 2,500 tahun pernah ditemukan di situ.

Besi yang dihasilkan di Sungai Batu adalah berkualiti tinggi dan dieksport ke seluruh dunia.

Dikenali sebagai ‘qalai’, besi buatan Sungai Batu sering digunakan untuk pembuatan senjata.

Mujurlah, isu yang menjadi kebimbangan pencinta sejarah dan warisan tanah air itu mendapat perhatian sewajarnya daripada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Melalui catatan Facebook bertarikh 5 Mac 2021, beliau menulis:

Bagi pihak kerajaan negeri Kedah, Saya telah mengarahkan supaya diadakan perbincangan segera antara BPEN, Pejabat Daerah Kuala Muda, Jabatan Warisan dan pasukan pengkaji sejarah (Team Datuk Dr Mokhtar Saidin – USM) untuk menyelesaikan isu sempadan dan guna tanah di sekitar kawasan tapak sejarah Sungai Batu, Merbok.

Satu mesyuarat akan diadakan pada hari Ahad, 7 Mac 2021 dipengerusikan oleh Datuk Norizan Khazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

Pada tahun lalu, semua pihak terbabit telah pun mengadakan perbincangan dan rundingan di tapak tersebut yang dikendalikan oleh Pengarah BPEN, En Mahazi Ibrahim, tetapi penyelesaian tuntas belum dapat dimuktamadkan.

Saya seperti rakyat Kedah yang lain, mahukan keagungan kerajaan Kedah yang mempelopori tamadun awal Asia Tenggara yang bertapak di Sungai Batu, diangkat sebagai satu mercu tanda kehebatan negeri Kedah yang paling bernilai untuk dipelajari dan diteladani oleh generasi kini dan akan datang.

Saya dan rakan-rakan daripada PAS Kedah telah melawat dan mendapat taklimat daripada tokoh ilmuan yang saya hormati Datuk Dr Mokhtar Saidin di lokasi teraebut pada November 2019 yang lalu.

Sesungguhnya tapak sejarah yang menyimpan jutaan artifak dan lambang keagungan kerajaan Kedah patut dilindungi, diteroka dan dimajukan sebagai sumber ilmu dan keagungan bangsa kita.

Proses ini tidaklah mudah dan memakan masa. Aspek perundangan dan pembiayaan perlu diuruskan melibatkan pelbagai pihak dan agensi yang berkaitan.

Saya berharap, kami diberi masa yang secukupnya untuk berusaha dari semua sudut agar usaha melonjakkan tapak tamadun ini sebagai ‘telaga’ ilmu dan kebijakan warisan Kedah Darul Aman dapat dijayakan.

Saya yakin, Sungai Batu akan dapat diangkat menjadi tapak warisan dunia yang sangat berharga untuk kita semua, warga dunia.

Di belakang dan bersebelahan tapak tamadun ini yang dimiliki oleh Jabatan Warisan, terdapat lebih kurang 74 ekar tanah kerajaan yang telah didiami oleh penduduk sekitar secara tidak sah (ceroboh). Mereka bukan orang berada yang boleh berpindah serta-merta.

Tahun lalu, saya meminta Pegawai Daerah Kuala Muda mencari jalan supaya sebahagian tanah kerajaan ini dapat diberikan kepada keluarga yang benar-benar miskin, yang tidak memiliki tapak rumah untuk didiami secara sah.

Kerja-kerja membuat lot-lot tapak rumah sedang diusahakan oleh Tuan Pegawai Daerah dan akan memberi manfaat kepada ratusan keluarga miskin di kawasan terbabit memiliki tapak rumah seluas lebih kurang 3,000 kaki persegi setiap keluarga.

Syaratnya jangan beri kepada orang kaya atau yang sudah ada rumah dan tanah!

Saya berpandangan, membantu keluarga miskin memiliki tapak rumah untuk didiami bersama anak isteri mereka secara sah, sama pentingnya dengan usaha menggali sejarah dan tamadun bangsa.

Kita berharap pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah itu akan membawa kepada situasi menang-menang bagi semua pihak berkepentingan. – EDISI 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan