KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO menyifatkan ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech memberikan sinar baharu dalam perjuangan negara menentang dan melandaikan pandemik Covid-19.
Ketuanya Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perbekalan vaksin Covid-19 merupakan usaha besar kerajaan dalam menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Sebanyak RM2.05 bilion (jumlah awal) dibelanjakan bagi mendapatkan vaksin yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.
”Justeru, Wanita UMNO amat berharap seluruh rakyat memberikan kerjasama dalam pengagihan vaksin ini nanti, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui catatan dalam Facebook semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Nor Hisham Abdullah menyifatkan ketibaan vaksin itu sebagai satu sinar harapan dan titik permulaan penamatan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.
Noor Hisham yang bakal mendapatkan suntikan pertama vaksin tersebut esok turut menitipkan pesanan buat semua dengan terus bertawakal kepada Allah SWT.
“Insya-Allah semoga segala iktibar dan usaha diberkati dan kita bertawakkal kepada Allah SWT yang maha Esa supaya kita semua dilindungi,” katanya.
Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, meninjau kesiapsiagaan Institut Kanser Negara (IKN) Kuala Lumpur menjelang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama yang akan bermula esok.
IKN adalah satu daripada 54 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) yang terdapat di negara ini dan berperanan membekalkan vaksin secara berjadual kepada empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Putrajaya yang telah dikenal pasti.
Noraini seterusnya menasihatkan meningkatkan pengetahu mengenai kelebihan vaksin ini kerana vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang.
“Pastinya Kerajaan juga telah mempertimbangkan segala segi sebelum mendapatkan vaksin ini. Marilah kita bersama-sama berganding bahu menentang pandemik COVID-19 ini.
”Wanita UMNO juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang sentiasa tekun dan berdedikasi dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia di kala menghadapi cabaran pandemik Covid-19,” katanya.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula esok, dengan Fasa 1 dari Feb hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.