25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PSMB lancar e-LATiH, tingkat kemahiran secara percuma

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah melancarkan hab e-pembelajaran terbaharu yang dikenali sebagai e-LATiH sebagai usaha untuk membantu rakyat dalam tempoh sukar memerangi COVID-19.

Platform tersebut akan membolehkan rakyat Malaysia membuat persiapan untuk masa depan dengan mengakses beratus-ratus pengisian berasaskan pembangunan kemahiran dan pendidikan.

Inisiatif itu adalah hasil kolaborasi antara PSMB dan Go1, iaitu salah satu agregator e-pembelajaran antarabangsa terbesar.

Melalui kerjasama tersebut, e-LATiH akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi akses percuma kepada lebih 200 kursus latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri di negara ini.

Oleh kerana kursus tersebut disediakan oleh agregator antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan, pada masa ini, kursus hanya disediakan dalam bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, PSMB akan menambah lebih banyak kandungan dalam masa beberapa minggu ini dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi mendorong rakyat Malaysia untuk menerapkan pembelajaran dan pemerolehan pengetahuan sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

“Rakyat Malaysia harus terus berusaha dalam dunia yang semakin kompetitif, hanya mereka yang betul-betul bersedia dari sekarang akan memperoleh kejayaan pada masa akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PSMB, Datuk Shahul Hameed Dawood berkata, walaupun keutamaan organisasi adalah kepada majikan yang membayar levi, platform e-LATiH tersebut dihasilkan sebagai usaha PSMB untuk memberi semula kepada rakyat Malaysia.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab memelihara industri latihan dan pembangunan di Malaysia, adalah menjadi harapan kami untuk menambah nilai kemahiran seluruh rakyat negara ini,” ujarnya.

Pekerja dan individu akan berpeluang untuk memilih kursus pilihan mereka dari pelbagai jenis kursus latihan yang merangkumi peningkatan kemahiran juga pembangunan peribadi.

Kursus berkenaan dikategorikan kepada:

i. Pembangunan Peribadi
Peningkatan kemahiran pekerja dan individu, sama ada untuk persiapan menghadapi temuduga, mempelajari bahasa baru ataupun meningkatkan pemikiran kritis.

ii. Pengurusan Projek
Kemahiran penting yang diperlukan dalam hal ehwal pengurusan projek untuk memulakan, merancang, melaksana dan mengurus inisiatif baharu serta perubahan dalam organisasi.

iii. Kepimpinan
Peningkatan kemahiran sebagai pengurus dan pemimpin. Pengurusan diri, pasukan dan organisasi dengan berkesan. Pelajari cara berkomunikasi dengan berkesan, berfikir secara strategik serta memberi inspirasi kepada orang lain.

Advertisements

iv. Pendigitan
Terokai dunia transformasi dan teknologi digital. Peroleh kemahiran untuk mengharungi perubahan digital.

v. Pemasaran & Inovasi
Kemahiran yang sangat diperlukan untuk meningkatkan pendapatan perniagaan, mengembangkan produk baharu, serta menghasilkan jenama yang berkesan. Pelajari kemahiran dalam bidang seperti penjualan dan perundingan, pemasaran dan pengiklanan, atau pengurusan inovasi dan penghasilan produk baharu.

vi. Pengaturcaraan

Dari pengekodan asas hingga kejuruteraan perisian canggih, tingkatkan kemahiran pengaturcaraan komputer, teknologi internet dan sains data.

vii. Kelestarian
Mempelajari bagaimana untuk memastikan kelestarian kehidupan dan alam sekitar.

viii. Kemahiran Kewangan
Pelajari kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam bidang kewangan. Tingkatkan kemahiran dalam ‘bookkeeping’, perakaunan, dan analisis kewangan.

ix. Bahasa
Pelajari bahasa baharu jika anda merancang perjalanan ke luar negara atau ingin bercakap dengan bangsa asing yang berdekatan dengan rumah anda.

x. Perkhidmatan Pelanggan
Pelajari cara cemerlang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan melalui proses dan pemikiran yang berkesan.

xi. Industri Spesifik
Dapatkan pengetahuan dalam industri khusus anda, dari Aeroangkasa, Bahan Komposit, Makanan dan Minuman, Hospitaliti, hingga Pembuatan Lean (Lean Manufacturing) dan banyak lagi.

xii. Kesihatan dan Keselamatan
Ketahui cara menjaga keselamatan diri dan individu lain di tempat kerja untuk mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan.

Selain itu, PSMB akan terus mengemas kini kursus bermanfaat dan juga yang mendapat permintaan bagi memenuhi keperluan majikan dan organisasi.

Semua rakyat Malaysia terutama pencari kerja digalakkan mendaftar dalam tempoh pergerakan terhad ini bagi mempelajari kemahiran baharu untuk mendapatkan peluang yang mungkin menanti mereka dalam masa terdekat.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri M. Saravanan atas sokongan berterusan terhadap PSMB dalam menjayakan inisiatif yang penuh impak ini serta rakan kolaborasi kami, Go1 atas kerjasama yang diberikan demi merealisasikan misi PSMB,” kata agensi itu.

e-LATiH akan tersedia untuk semua rakyat Malaysia bermula 6 Februari 2021 hingga 5 Februari 2022.

Untuk mengakses kursus latihan dalam talian secara percuma, layari https://elatih.hrdf.com.my/. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan